Vaksinasi ‘economic frontliners’ mungkin melalui kerjasama awam swasta

Admin

AIR ITAM – Pemberian vaksin untuk ‘economic frontliners’ khususnya mereka yang bekerja di sektor perkilangan dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mungkin dilaksanakan melalui kaedah perkongsian awam dan swasta (PPP).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa sesi taklimat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Pulau Pinang semalam.

“Jadi mengikut makluman Menteri, kilang-kilang mempunyai bilangan pekerja yang banyak misalnya 5,000 orang ke atas perlu memastikan pekerja mereka berdaftar sebagai penerima vaksin.

“(Dan) sekiranya kaedah ini dilaksanakan, maka sektor perubatan swasta termasuk dari persatuan (perubatan) yang menawarkan khidmat mereka akan diatur untuk menjalankan pemberian vaksin di kilang-kilang.

Chow Kon Yeow meninjau perjalanan program suntikan vaksin Influenza percuma kepada warga emas sempena Majlis Perasmian Pusat Komuniti KADUN Air Itam dan Parlimen Bukit Gelugor sebentar tadi.

“Misalnya kilang A mempunyai 3,000 pekerja yang layak, maka pihak Kementerian akan mengaturkan sebuah hospital atau klinik swasta untuk pergi ke kilang berkenaan bagi menjalankan vaksinasi.

“Ini bermakna, pihak kerajaan akan menyediakan vaksin secara percuma dan pihak kilang pula akan membayar untuk penyediaan logistik atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Pusat Komuniti Parlimen Bukit Gelugor dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Jopseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Senator Dewan Negara, Lim Hui Ying; Ketua Eksekutif Hospital Adventist, Ronald Koh; Pengurus Kebajikan Hospital Adventist, Jenny Ooi serta Ketua Balai Polis Air Itam, Fazly Abdullah.

Pada majlis itu juga, seramai 100 orang yang terdiri daripada warga emas dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima suntikan vaksin Influenza secara percuma dengan kerjasama Hospital Adventist Pulau Pulau Pinang.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kon Yeow memberitahu bahawa keutamaan pemberian vaksin kepada ‘economic frontliners’ dilihat dapat mempercepatkan pemberian vaksin kepada lebih ramai individu dan seterusnya melandaikan kes jangkitan terutamanya dari kluster kilang.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaannya masih tertakluk kepada keadaan bekalan vaksin dan Menteri menjangkakan dalam dua bulan lagi program ini boleh dilaksanakan,” ujarnya.

Terdahulu, pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 pada 16 Mac lalu, Kon Yeow menggesa supaya suntikan vaksin dapat disegerakan kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut turut dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan berkemungkinan besar mampu menunrunkan kadar jangkitan kes baru COVID-19 di negeri ini.

Justeru, Khairy semasa sesi taklimat CITF Negeri Pulau Pinang, semalam memaklumkan bahawa MOSTI mengambil maklum mengenai cadangan tersebut dan kini sedang merancang untuk melibatkan golongan berkaitan termasuk pekerja bukan warganegara dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijangka bermula pada pertengahan April ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN