Vaksinasi terhadap peniaga dan penjaja kecil harap dipercepatkan – Exco

Admin

KOMTAR – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap pemberian suntikan vaksin kepada peniaga dan penjaja kecil di negeri ini dapat dipercepatkan sekali gus memberi perlindungan kepada golongan terbabit yang terdedah kepada risiko jangkitan ketika menjalankan perniagaan dan berurusan dengan orang ramai.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah membuat permohonan supaya perkara tersebut dipercepatkan dan pihaknya akan terus membuat semakan susulan dengan Kementerian berkaitan.

“Saya akan minta Setiausaha Bandaraya untuk memperincikan perkara ini dan memberi laporan berapakah jumlah peniaga yang sudah menerima vaksin dan (jumlah) yang masih belum menerima, terutamanya membabitkan 56 pasar di Pulau Pinang.

“Memandangkan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin dengan volume yang lebih tinggi, maka diharap mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk memberikan keutamaan kepada golongan ini, dan dalam masa sama di harap saudara Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) juga melihat isu sama,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Jagdeep sebelum itu ditemani ADUN Komtar, Teh Lai Heng, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Rozali (Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan wakil JKNPP mengadakan pemantauan sambil mengedarkan pelitup muka kepada golongan peniaga dan penjaja kecil di Pasar Chowrasta pagi tadi.

Terdahulu, menurut laporan akhbar tempatan menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memastikan lebih 500,000 peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara terlibat dalam program vaksinasi menerusi Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) mulai 6 Julai 2021.

Sebagai respons kepada isu sama, Lai Heng ketika sidang media berkata bahawa di Pasar Chowrasta contohnya, sebahagian besar penjaja dan peniaga kecil masih belum divaksin, manakala yang berumur 60 tahun ke atas telah menerima vaksinasi masing-masing.

“Saya sering menerima soalan daripada mereka, bilakah mereka akan divaksin kerana kita tahu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga PKP3.0 dan telah beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) pun golongan ini masih terus berniaga kerana mereka adalah sektor essentials.

“Kita tahu sebahagian peniaga dan penjaja kecil telah selesai divaksinasi terutamanya mereka yang berniaga di dalam kawasan merah (hotspot), justeru saya berharap agar peniaga di sini (Pasar Chowrasta) juga dipertimbangkan kerana tidak mahu kawasan ini kelak bertukar menjadi ‘merah’ juga,” ulasnya yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Sehingga kini, pendaftaran vaksinasi di Pulau Pinang telah mencecah 1.2 juta dengan 613, 763 atau 34.6 peratus telah menerima suntikan dos pertama masing-masing.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI