Vaksinasi walk-in bakal diumumkan

GEORGE TOWN – Inisiatif walk-in di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bagi suntikan vaksinasi bakal diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang: Pengurusan COVID-19, esok.

Perkara tersebut telah diperhalusi pada peringkat akhir untuk dilaksanakan semasa kunjungan hormat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang baharu, Dr. Ma’arof Sudin ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, cadangan tersebut akan membolehkan individu yang tidak berdaftar melalui MySejahtera atau telah berdaftar tetapi masih belum menerima janji temu divaksin di PPV berdekatan.

“Walau bagaimanapun, perincian pelaksanaan inisiatif vaksinasi walk-in ini akan dimaklumkan kelak termasuk inisiatif-inisiatif berkaitan yang boleh dilaksanakan oleh pihak JKNPP dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengekang perebakan wabak,” ujarnya pada pertemuan selama 45 minit itu.

Sebagai rekod, pada 2 Ogos lalu, hanya warga emas dibolehkan menerima vaksin secara walk-in di empat PPV yang dikenal pasti di negeri ini.

Dalam pertemuan sama, turut dibincangkan adalah penambahbaikan pengurusan masa tindak balas atau ‘response time’ dari pusat panggilan bagi memantau pesakit COVID-19 atau kontak rapat kepada seseorang yang disahkan positif yang menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

Difahamkan, pihak JKNPP akan meneliti penambahbaikan tempoh masa tindak balas dari pusat panggilan antara 24 hingga 48 jam mengikut kategori pesakit sama ada berisiko tinggi atau rendah.

Selain itu, isu-isu berbangkit seperti proses pemberian vaksinasi; cabaran yang dihadapi dan perlu diberi perhatian sepanjang tempoh wabak; pelan kontigensi kawalan wabak; tambahan kapasiti kemudahan di PPV, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) serta Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di negeri ini turut disuarakan pada pertemuan tersebut.

Terdahulu, Ma’arof yang diiringi oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), M. Maheswari dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kesihatan Primer), Dr. Farzaana Adam menzahirkan komitmen untuk membantu Pulau Pinang menangani perebakan wabak COVID-19 termasuk mempercepatkan usaha pemberian vaksinasi.

Ma’arof dilantik sebagai Pengarah JKNPP yang baharu berkuat kuasa pada 23 Ogos 2021 bagi menggantikan Datuk Dr. Asmayani Khalib yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah (Bahagian Perancangan) KKM serta terlibat dalam pembangunan PKRC Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Selain itu, beliau juga telah berkhidmat dalam pelbagai penjawatan perubatan di beberapa hospital dan pejabat kesihatan di Melaka dan Johor sejak tahun 1987.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN