Vaksinasi walk-in: Tidak perlu hadir terlalu awal, 500 bekalan vaksin tersedia setiap hari

PANTAI JEREJAK – Keadaan terkawal dan sambutan menggalakkan, itulah respons Pengarah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SPICE Convention Centre (CC), Dr. Norhashimah Ismail ketika menjawab pertanyaan pemberita susulan pembukaan proses vaksinasi secara walk-in mulai hari ini.

Jelasnya, sambutan baik dapat dilihat apabila 150 individu sudah mendaftar untuk menerima vaksin secara walk-in sehingga jam 11:25 pagi hari ini.

“Cuma masa awal pagi tadi kita tengok sedikit ramai, namun semuanya terkawal dengan kawalan anggota polis dan RELA walaupun kita tengok berbaris panjang.

 

“Jadi kita nasihatkan jangan datang terlalu awal, vaksinasi walk-in ini dibuka pada jam 10 pagi, dengan slot 500 suntikan sehari dan ia mencukupi.

 

“Kalau tengok sekarang (11:30 pagi) dah mula reda jadi jangan bimbang dengan datang terlalu awal, macam hari ini ada yang datang seawal 7:15 pagi,” ulas beliau.

 

Tambahnya, bagi memudahkan urusan, individu yang berhasrat mendapatkan vaksin dos pertama cuma perlu rujuk syarat-syarat ditetapkan sahaja.

Bagi MOHAMAD FAIZ AZIZI, 18,  beliau baru mendafatar di aplikasi MySejahtera pada bulan lepas.

“Sebelum ini tidak layak sebab belum capai umur 18, tetapi lepas dapat tahu ada walk-in terus datang ke SPICE CC dengan keadaan yang lebih selesa di sini.

“Lagipun bulan ini nak masuk ke Kolej Komuniti Sungai Petani jadi perlu vaksin dahulu,” ujarnya yang menetap di Farlim.

AHMAH IKHTIER KHAN AZAD KHAN, 37, mengambil kesempatan hadir ke PPV SPICE CC selepas dimaklumkan oleh kakaknya.

“Saya pun sebelum ini tidak daftar melalui MySejahtera, tak pandai sangat tentang ini.

“Bagi saya ‘manual’ macam ini lebih mudah jadi saya pun buat keputusan untuk datang ke SPICE CC,” jelasnya yang tinggal di Balik Pulau dan hanya melakukan kerja-kerja kampung.

Alex Hong

 

Setelah mendaftar kira-kira tiga bulan lalu melalui aplikasi MySejahtera dan tiada jawapan, ALEX HONG, 29, mengambil keputusan hadir ke PPV SPICE CC hari ini.

 

“Saya datang tepat jam 10 pagi, beratur lebih kurang 100 meter, tak kisah asalkan dapat vaksin.

 

“Lagipun keluarga saya semuanya sudah divaksin,” jelas eksekutif pembangunan perniagaan tersebut.

Nur Farah Izzati

Atas dasar kebimbangan perlu berdepan orang ramai setiap hari, NUR FARAH IZZATI MOHAMMAD NOOR, 19 mengambil keputusan mendapatkan vaksin secepat mungkin.

 

“Saya bertugas di pasar mini, hari-hari jumpa pelanggan dan terdedah kepada risiko, apabila dapat tahu pembukaan PPV walk-in terus ambil keputusan minta cuti daripada bos,” katanya yang sudah mendaftar sebagai penerima vaksin sejak Julai lalu.

 

Antara PPV lain yang turut terlibat dengan inisiatif terbaru ini adalah Tapak Pesta Sungai Nibong, Kompleks Sukan Balik Pulau, Pusat Konvensyen Perda, Dewan Millenium dan SP Arena.

 

Lokasi lain termasuklah Tapak Ekspo Seberang Jaya, Vangohh Eminent,  Dewan Sungai Bakap dan Dewan Serbaguna Jawi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI