Vaksinasi ‘walk in’ warga asing berjalan lancar

Admin

SEBERANG JAYA – Program vaksinasi percuma secara jumpa terus tanpa janji temu atau ‘walk-in’ kepada warga asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena di sini dilihat teratur dan berjalan lancar.

Selain SP Arena, tiga lagi PPV yang menyediakan perkhidmatan tersebut adalah SPICE Convention Centre (SPICE CC) di bahagian pulau, Dewan Millenium Kepala Batas (Daerah Seberai Perai Utara) dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap di Daerah Seberang Perai Selatan.

Menurut pengurus PPV SP Arena, kehadiran warga asing untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada hari pertama adalah sangat menggalakkan dengan seramai 260 orang telah direkodkan.

Sebahagian warga asing yang hadir menerima suntikan vaksin secara ‘walk in’ dekat PPV SP Arena hari ini.

“Pada hari pertama memang agak ramai kerana ada dalam kalangan warga asing hadir sejak dari jam 8.30 pagi walaupun program ini dijadualkan bermula jam 2 petang sehingga 5 petang setiap hari.

“Walau bagaimanapun, kita akan dahulukan warga tempatan yang mana sekiranya jumlah warganegara semakin berkurangan barulah kita berikan suntikan kepada warga asing sekiranya mereka datang awal sebelum jam 2 petang.

“Bagi mengelakkan berlaku kesesakan pula, kita di PPV SP Arena telah menyediakan pintu masuk yang berasingan bagi mereka yang ‘walk in’ dan secara janji temu.

“Selain itu, kita juga sediakan barisan khas untuk bukan warganegara bagi mengelakkan rasa kurang selesa dalam kalangan warga tempatan yang hadir mendapatkan suntikan vaksin mereka di sini,” ujar beliau yang enggan dinamakan.

Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit masalah melibatkan komunikasi kerana kebanyakan warga asing tidak boleh bertutur dalam bahasa Malaysia atau pun bahasa Inggeris, namun perkara itu tidak menjejaskan proses vaksinasi.

Salah seorang petugas kesihatan sedang membantu warga asing menyelesaikan pendaftaran di MySejahtera.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri ada sediakan perkhidmatan hotline dengan pelbagai bahasa untuk melancarkan program ini, tetapi kebanyakan masa kita hanya menggunakan isyarat dan nampaknya mereka dapat memahami,” jelasnya lagi.

Katanya, vaksinasi yang diberikan kepada warga asing adalah meliputi semua sama ada mereka yang bekerja secara sah atau yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kebanyakan warga asing yang hadir adalah pekerja di tapak-tapak bina, pasar awam, premis-premis perniagaan milik individu dan bekerja sendiri yang mana ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai apa-apa dokumen atau hanya memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Bagi yang langsung tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, kita akan buatkan satu kad khas (kad ID) untuk mereka selain membantu mereka melakukan pendaftaran menggunakan aplikaksi MySejahtera,” katanya lagi.

Difahamkan, sebanyak 500 dos vaksin disediakan di 10 PPV di negeri ini untuk vaksinasi secara ‘walk in’ termasuk kepada warga asing.

Sehingga jam 1 petang hari ini, seramai 568 orang warga asing hadir menerima suntikan vaksin secara ‘walk in’ di PPV SP Arena sejak ia mula dibuka pada 17 September lalu.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS