Vega singgah kumpul sumbangan misi kemanusiaan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kapal layar Norway, Vega yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Indonesia sejak 10 tahun lalu iaitu selepas tragedi tsunami, buat julung kali singgah di perairan Pulau Pinang baru-baru ini.

Persinggahan tersebut adalah bagi mengumpul seberapa banyak sumbangan untuk dibawa sepanjang misi kemanusiaan tersebut selain di Pulau Langkawi, Kedah dan Singapura.

Pemilik yang juga kapten kapal, Shane Granger ketika ditemui berkata, matlamat misi kemanusiaan tersebut adalah bagi membantu penduduk di wilayah timur Republik Indonesia sama ada melalui pemberian bantuan perubatan, peralatan dapur, makanan, alat tulis atau permainan.

“Vega berusia 122 tahun yang sebelum ini adalah sebuah kapal dagang melambangkan kekuatan dalam mengharungi samudera dan kepedulian membantu mereka memerlukan.

“Inilah semangat saya dan isteri (Meggi Macoun) pegang sehingga kini untuk menghulurkan bantuan terutama kepada penduduk di pulau-pulau terpencil di wilayah timur Republik Indonesia,” ujarnya ketika ditemui pada sesi lawatan khas Pertubuhan Wanita Pulau Pinang di sini baru- baru ini.

 Hadir mengetuai lawatan tersebut adalah Presiden pertubuhan yang juga isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew Gek Cheng.

Serentak itu, lawatan ke kapal tersebut turut dibuka kepada orang ramai.

Tambah Granger, Vega merupakan salah satu kapal yang masih meneruskan bantuan kemanusiaan ke Republik Indonesia sejak 10 tahun lalu iaitu kali pertama selepas tragedi tsunami.

“Persinggahan ini adalah kali pertama di Pulau Pinang.

 “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Wanita Pulau Pinang dan pusat membeli-belah Straits Quay yang telah menjayakan misi kemanusiaan selama 10 hari di sini,’’ jelasnya.