Virtual Recording dan Studio Penyiaran PDL-P2 mudahkan pembelajaran dalam talian

Admin

GEORGE TOWN – Penang Digital Library Fasa 2 (PDL-P2) kini dilengkapi dengan Virtual Recording dan Studio Penyiaran bagi memudahkan lagi sistem pembelajaran pihak-pihak berkaitan.

Kemudahan tersebut disediakan oleh pihak Intel Microelectronic Sdn. Bhd. dan eLearningminds Group Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada Kerajaan Negeri.

Kemudahan tersebut turut dilengkapi dengan Smart Interative TV, CPU, kamera dan kelengkapan lain yang dianggarkan bernilai kira-kira RM42,195.

Ketua Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan tetamu jemputan khas sedang mendengar taklimat berkaitan penggunaan Virtual Recording dan Studio Penyiaran semasa merasmikan kemudahan itu dekat PDL-P2, sebentar tadi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kemudahan tersebut akan digunakan oleh para guru di negeri ini bagi proses pembelajaran secara dalam talian.

“Penyediaan Virtual Recording dan Studio Penyiaran merupakan lanjutan daripada Program Komputer E-pembelajaran yang mana ia membolehkan para guru mengendalikan e-pembelajaran dengan lebih menarik dan sesuai.

“Sebagai tambahan, ia turut memberi pilihan kepada para guru sama ada memilih untuk mengajar dalam bentuk video, lembaran kerja, animasi dan sebagainya kerana latar belakang boleh bertukar mengikut kesesuaian pembelajaran melalui skrin hijau.

“Di samping itu, kelengkapan ini juga bakal membantu para guru menyampaikan pembelajaran digital secara dua hala serta memastikan kesinambungan pembelajaran,” katanya semasa berucap merasmikan kemudahan tersebut dekat PDL-P2 di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Selain Islam, Chong Eng; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Rohimah Baharudin dan Saiful Nizam Ramli; Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPNPP, Muhamad Radzi Nanyan; Pengurus Besar Unit Perbankan Perniagaan, Intel Microelectronics Sdn. Bhd., Ngoo Seong Boon serta Pengarah Elearningminds Group Sdn. Bhd., Kelvin Loh Lih Fu turut hadir.

Virtual Recording dan Studio Penyiaran bakal memudahkan prosea pembelajaran dalam talian.

Kon Yeow dalam pada itu turut menjelaskan bahawa Virtual Recording dan Studio Penyiaran dijalankan mengguna pakai Bilik Virtual Reality (VR) kalis bunyi dekat PDL P-2 yang telah diubah suai melalui peruntukan RM20,000 oleh CMI.

“Bilik berkonsepkan studio rakaman dan kalis bunyi ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan PDL yang mendapat latihan pengendalian daripada pihak Intel Microelectronic Sdn. Bhd. dan eLearningminds Group Sdn. Bhd..

“Tiada bayaran sewaan bilik dikenakan sekiranya ia melibatkan guru sekolah dan institusi pendidikan awam manakala pihak swasta pula akan diberikan pengecualian sebanyak 50 peratus mengikut kadar sewaan sedia ada.

“Justeru, terima kasih kepada kedua-dua syarikat terlibat kerana telah membangunkan kemudahan ini secara CSR serta memberikan khidmat nasihat serta latihan kepada kakitangan PDL,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan SNS Network (M) Sdn. Bhd., Ko Yun Hung yang turut hadir menyifatkan inisiatif mewujudkan perpustakaan digital berkaitan sebagai satu pencapaian yang hebat untuk Kerajaan Negeri.

Penang Digital Library fasa 2.

Sebagai rekod, Pulau Pinang menjadi negeri pertama dalam negara yang membangunkan perpustakaan digital bermula dengan PDL fasa 1 dan fasa 2 sebelum diperluas ke kawasan Batu Maung (Batu Maung Digital Library) dan Seberang Perai (Butterworth Digital Library).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ALISSALA THIAN