Visi Penang2030, 75 peratus sasaran berjaya dicapai – Ketua Menteri

Admin
tkm1011f

GEORGE TOWN – Berkat usaha berterusan dan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat, pelaksanaan inisiatif Visi Penang2030 kini telah mencapai sekitar 75 peratus daripada keseluruhan sasaran.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pencapaian tersebut adalah meliputi sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, mobiliti, ekonomi digital, pembangunan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

“Sekali gus, ia membuktikan bahawa Penang2030 semakin bergerak daripada visi kepada realiti menuju status negeri pintar dan hijau bertaraf antarabangsa,” ujarnya pada Majlis Perasmian Festival Penang2030 yang berlangsung di aras tiga dan empat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid serta dif-dif kehormat yang lain.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa penganjuran berkaitan memberi peluang kepada rakyat untuk berinteraksi secara langsung dengan jabatan serta agensi kerajaan, sambil menikmati pelbagai aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan dan berinformasi.

“Bertemakan “Astronomi”, festival pada tahun ini menampilkan gabungan pendidikan, hiburan dan aktiviti interaktif yang mencerminkan komitmen kita terhadap pembangunan modal insan serta pengukuhan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah bagi menerajui transformasi ke arah pendigitalan teknologi dan inisiatif bandar pintar, berlandaskan pembangunan modal insan yang mampan bagi memastikan Pulau Pinang terus melangkah sebagai negeri yang cemerlang, gemilang serta terbilang di persada dunia,” jelasnya.

Menyentuh mengenai komitmen peribadi, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa beliau akan terus memperjuangkan sebuah kerajaan berintegriti, mengutamakan kebajikan rakyat serta memperkukuh pembangunan ekosistem yang inklusif.

“Dengan tempoh lima tahun yang masih berbaki menuju tahun2030, Kerajaan Negeri kekal komited dalam merealisasikan setiap matlamat demi membina sebuah negeri yang kita banggakan hari ini, dan yang akan diwarisi dengan penuh rasa bangga serta kesyukuran oleh generasi akan datang.

“Malah, dalam tempoh berbaki saya dalam pentadbiran sebagai Ketua Menteri, saya ingin menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan sebuah kerajaan yang berintegriti, mengutamakan kebajikan rakyat, memperkukuh infrastruktur, membina ekosistem mampan dan relevan dengan tuntutan masa kini, berteraskan pembangunan modal insan yang inklusif serta berdaya saing,” tegasnya.

Menyorot kembali pengenalan Visi Penang2030, Kon Yeow berkata bahawa hala tuju strategik yang memandu segala dasar pembangunan negeri dari kemampanan ekonomi, kesejahteraan sosial dan keterangkuman komuniti.

“Sinergi inilah yang mendasari kemajuan negeri ini menjadikan kemakmuran negeri ini adalah hasil usaha kolektif kita bersama,” ulasnya lanjut.

Penganjuran Festival Penang2030 adalah bertujuan membawa Visi Penang2030 sebagai manifestasi semangat keterangkuman dan komuniti dengan menjadikan rakyat sebagai rakan kongsi utama dalam perjalanan menuju tahun 2030.

Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk eksplorasi planetarium, pameran angkasa lepas, pertandingan pakaian bertema sains serta astronomi, dan juga pelbagai aktiviti interaktif yang dapat memupuk minat terhadap sains dalam kalangan generasi muda.

Selain menyaksikan pelbagai pertandingan menarik, penganjuran berkenaan turut dimeriahkan dengan pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK); Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC); Tech Dome Penang; Penang Green Council; MBPP; MBSP; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Askar Wataniah.

5808a26f 803c 4c9b 9363 0055d21074ed cc335922 ecdb 4c79 b84b 9623d90ab028 9c4e2dee 93f3 4e20 b725 e2e91e7e9e19 57ac5e09 59ba 4df0 bbf7 cc9d2f35e61d 40553c4d d29c 4712 9781 a9f22c72a09e be9cc628 517f 48c0 a2d5 277b2f9fd6f7 110699d9 16a8 403d 8e43 c3c6f6226f01

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT