Visi Penang2030 pelengkap keseimbangan keseluruhan pembangunan negeri – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang digagaskan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bakal menjadi pelengkap kepada keseimbangan keseluruhan pembangunan negeri Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau amat berharap agar komitmen profesion perancang bandar akan terus gemilang dalam merangka dasar pembangunan negeri yang inklusif, sekali gus membantu Pulau Pinang merealisasikan visi tersebut.

Ketua Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan PLANMalaysia bergambar kenang-kenangan pada sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Kita (Kerajaan Negeri) sebenarnya amat bergantung kepada profesional perancang bandar sama ada di peringkat Persekutuan, negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perancangan bandar dan desa di negeri Pulau Pinang sehingga landskap fizikal negeri begitu banyak berubah dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

“Pencapaian perancangan bandar yang kita lihat sepanjang 13 tahun ini adalah hasil daripada pelbagai input, kritikan, pemantauan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Ini menjadikan kita sangat prihatin serta berwaspada dalam melaksanakan pembangunan projek sehingga tidak menjejaskan kelestarian dan kemampanan Pulau Pinang sebagai negeri yang menawarkan daya huni yang lestari kepada rakyat di negeri ini,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Irshad; Timbalan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Tpr. Faidzal Hamzah serta Pengarah PLANMalaysia Pulau Pinang, Tpr. Rozita Hamit.

Menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan Lensa Kreatif 100 Tahun Perancangan Bandar Pulau Pinang anjuran PLANMalaysia Pulau Pinang bersama-sama Pejabat Exco Perancangan Bandar dan Desa.

Tambah Kon Yeow, pelbagai kemajuan yang telah dinikmati rakyat Pulau Pinang adalah hasil daripada perancangan dan pembangunan yang sangat teliti sepanjang 100 tahun profesion perancang bandar wujud di negara ini.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada PLANMalaysia Pulau Pinang selaku peneraju, pakar rujuk serta penasihat Kerajaan Negeri dalam perancangan bandar dan desa ekoran proaktif melaksanakan pelbagai program selama ini.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri, saya amat pasti tugas serta tanggungjawab profesion ini adalah tidak mudah seperti yang kita semua sangkakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jadgeep dalam ucapannya sebelum itu berkata bahawa cabaran utama yang dihadapi Pulau Pinang dalam aspek perancangan bandar adalah pada segi perumahan khususnya rumah mampu milik.

“Dalam mana-mana perancangan di negeri Pulau Pinang ini, apa yang paling penting adalah kita perlu mengambil input daripada rakyat sepertimana penyediaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2030 yang diwartakan pada 24 Oktober lalu.

“Ini juga termasuk beberapa rancangan tempatan yang sedang dalam proses untuk mendapatkan input, kajian serta penelitian sebelum kita pertimbangkan untuk diwartakan,” ulasnya.

Mendengar penerangan berkaitan salah satu projek yang bakal dilaksanakan di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Jagdeep turut mengingatkan bahawa sesuatu perancangan dilaksanakan di negeri Pulau Pinang adalah perlu mengambil kira krisis perubahan iklim yang sedang melanda dunia ketika ini.

“Krisis perubahan iklim akan turut memberikan kesan kepada Pulau Pinang, jadi sebarang perancangan yang hendak dilakukan mestilah mengambil kira faktor perubahan iklim yang merupakan satu lagi pandemik selain pandemik COVID-19,” ujarnya.

Pada masa sama, Jagdeep turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan audit secara berkala untuk memantau hasil yang dicapai oleh PLANMalaysia Pulau Pinang.

“Jadi, saya berharap agar segala aspek perancangan oleh PLANMalaysia Pulau Pinang perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan hasil yang diiginkan dapat dicapai,” katanya.

Difahamkan, tema sambutan HBPS peringkat Negeri Pulau Pinang adalah “Merancang Bersama” yang seiring dengan tema sambutan HBPS 2021 (nasional) iaitu “100 Tahun Perancangan Bandar Menerajui Malaysia Berdaya Huni, Makmur dan Sejahtera.

Pada majlis tersebut, PLANMalaysia Pulau Pinang turut melancarkan buku ‘2 Penggal Pentadbiran Jagdeep Singh Deo; Halatuju Perancangan Bandar 2030’ sebagai menghargai perkhidmatan Jagdeep selaku Exco Perancangan Bandar dan Desa selama dua penggal.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMA ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN