Wabak nCoV, badan korporat dan pihak swasta diseru bekal keperluan pencegahan kepada masyarakat

BATU MAUNG – Dalam usaha membendung jangkitan wabak Novel Coronavirus atau lebih dikenali sebagai nCoV, syarikat Ionic Global Sdn. Bhd. bersetuju membekalkan kira-kira 400 botol OMBACPLUS instant hygiene sanitizer untuk diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain menyambut baik penyertaan dan tajaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihak terbabit dalam usaha meningkatkan pencegahan wabak berkenaan.

“Dengan adanya instant hygiene sanitizer ini dapat membantu orang ramai dan pelajar khususnya untuk menjaga dan meningkatkan kebersihan diri (personal hygiene).

“InsyaAllah, kita akan mula edarkan dalam minggu depan kepada pelajar-pelajar sekolah sekitar KADUN Batu Maung,” ujarnya pada sidang media demo penggunaan sanitizer di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Ionic Global Sdn. Bhd., Michelle Law.

Difahamkan bahawa OMBACPLUS instant hygiene sanitizer spray berkenaan menggunakan teknologi terkini bagi membunuh bakteria sehingga 99.99 peratus di mana keberkesanannya telah diuji dan disahkan oleh Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Racun Negara.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan berkata, sebagai langkah meluaskan lagi pencegahan kepada masyarakat umum, Kerajaan Negeri mengalu-alukan badan-badan korporat dan pihak swasta yang bersedia membekalkan sebarang bentuk bantuan dan keperluan pencegahan kepada orang ramai.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia untuk membantu menyediakan keperluan pencegahan kepada orang ramai seperti mask (topeng kesihatan) atau sanitizer seperti ini.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita telah menempah sebanyak 200,000 keping mask untuk diedarkan.

“Sebagai langkah pencegahan jangkitan wabak nCoV, yang paling penting adalah setiap individu perlu menjaga dan meningkatkan kebersihan diri setiap masa,” ujarnya lanjut.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF