Wacana ilmu jana umat optimistik & berjaya

Admin

BAYAN LEPAS – Kesinambungan usaha membudayakan ilmu untuk umat Islam di Pulau Pinang kini mencapai ke satu tahap membanggakan apabila Kerajaan Negeri terlibat secara langsung dalam penganjuran wacana ilmu, ucap Pengarah Program Seminar Maal Hijrah 1434H Peringkat Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim.

Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, usaha tersebut dapat dilihat apabila terdapat lapan buah kitab yang telah diterjemahkan dan diterbitkan bermula tahun 2009 sehingga kini.

“Pada tahun 2010, sebuah kitab unggul karya Yusuf al- Qadrawi, al-Wasatiyyah al- Islamiah telah menjadi wadah unggul dalam perjuangan dan pemartabatan umat Islam.

“Oleh itu, saya berharap wacana ilmu hari ini juga mampu menjadi wadah perjuangan Islam di masa hadapan dengan pelancaran buku Islam dan Melayu, Martabat Umat & Daulat Rakyat,” ucap Abdul Malik di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu. Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman yang turut hadir bersama isteri, Datin Aishah Zainul turut bersetuju bahawa penganjuran wacana ilmu mampu membangkit semangat umat Islam dan mampu membantu mengharungi cabaran dalam sistem dunia yang semakin ‘terbuka’.

“Syarat utama memartabatkan umat dan rakyat bermula dengan kita sendiri.

“Muhasabah dengan mengambil iktibar dari peristiwa penghijrahan Rasulullah S.A.W serta mencontohi sikap amanah mampu menjadikan kita lebih optimis dan berjaya.

“Sekiranya kita tidak amanah, maka merutinkan perbuatan keji, hina seperti rasuah, fitnah dan penipuan akan berleluasa tanpa rasa malu dan insaf,” ujar Mansor.

Hadir sama, Yang diPertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan Timbalan Mufti, Sahibul Fadzilah Salahuddin Ghozali.

Manakala kehadiran barisan panel wacana adalah seperti Presiden Kolej Dar al-Hikamh, Datuk Dr. Siddiq Fadzil; Mantan Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik turut mengimarahkan lagi sambutan Maal Hijrah yang turut dihadiri oleh kira-kira 1,200 orang di sini baru-baru ini.

Intipati buku Islam dan Melayu, Martabat Umat & Daulat Rakyat adalah berkisarkan tentang semangat dan sikap untuk menjadikan umat dan bangsa yang mulia yang menjadikan iman serta takwa sebagai landasan.

PARA dif jemputan meneliti buku Islam dan Melayu, Martabat Umat & Daulat Rakyat pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.
PARA dif jemputan meneliti buku Islam dan Melayu, Martabat Umat & Daulat Rakyat pada majlis pelancarannya
di sini baru-baru ini.