Wakaf tanah kekalkan identiti Islam George Town – Mohamed Nasir

Admin

DEMI memulihara identiti masyarakat India Muslim yang lebih dikenali sebagai ‘Kelinga Bangsan’ di kompleks pasar raya Chowrasta, beliau dan rakan-rakan pernah melancarkan piket pada tahun 1998.

Namun, aksi mereka langsung tidak dipedulikan oleh Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pada masa itu.

Selepas Kerajaan Negeri berpindah tangan, beliau sendiri menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Beliau terkejut, apabila Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri pada bulan Februari 2012 mengumumkan cadangan menaiktaraf gabungan tersebut sebagai salah satu ikon kepada George Town Bandar Warisan Dunia UNESCO.

Sebanyak RM10 juta hingga RM12 juta diperuntukan untuk memulihara bangunan bersejarah yang direkod bina pada 1961.

Mohamed Nasir Mohideen, 50, memberitahu, langkah itu sekaligus mengukuhkan keyakinan penjaja yang kebanyakannya masyarakat India Muslim setempat, di samping menaruh harapan tinggi terhadap tadbir urus Kerajaan Negeri hari ini.

“Tahun 1998, saya sudah hantar proposal dan buat piket, tiada tindakan sehingga 2008, namun begitu hasrat murni menjadi iktibar kerana ia telah menjadi satu titik permulaannya.

“Selepas tahun 2008, tuntutan kita didengar dan terus diimplementasi (naik taraf Chowrasta).

“Semua penjaja tiada lesen dan berniaga di luar (kompleks) Chowrasta atas alasan majlis (MPPP) tak boleh buat, tetapi sekarang boleh pula kerana ada iltizam pentadbiran di bawah Kerajaan Negeri yang baru.

“Bukan saja pasar raya Chowrasta, malah seluruh pasar basah di negeri ini dinaik taraf secara berperingkat,” ujar Mohamed Nasir, semasa diwawancara oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB di sini baru-baru ini.

Mohamed Nasir merupakan seorang India Muslim serta anak kelahiran Pulau Pinang dan mempunyai seorang isteri serta dua orang anak lelaki.

Beliau merupakan peniaga ikan di pasar basah Chowrasta. Mohamed Nasir merupakan anak jati George Town, yang lebih dikenali sebagai ‘Anak Tanjong’.

Ibu dan ayah Mohamad Nasir adalah peranakan India dan berhijrah ke George Town, serta mendapat kerakyatan Malaysia.

“Negara India sekarang sekadar destinasi pelancongan, kerana jiwa raga saya sendiri ada di sini (Malaysia),” ujar beliau.

Walaupun sibuk dengan urusan perniagaan, beliau turut ditaklif sebagai sebagai Presiden Persatuan Muslim Tanjung Pulau Pinang (PELITA), merangkap Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Chowrasta Pulau Pinang.

Chowrasta

Mohamad Nasir memberitahu, Chowrasta adalah simbol kewujudan minoriti India Muslim di George Town.

Secara neratifnya, Chowrasta merupakan penempatan etnik Tamil Muslim dari Tamil Nadu, India Selatan sejak kurun ke-19.

“Sebenarnya, bandar George Town dari Jalan Pasar ke Lebuh Chulia hingga ke Jalan Penang dan Jalan Transfer merupakan terkemudian minoriti India.

“Chowrasta itu berasal dari bahasa Urdu, ‘char’ ertinya empat dan ‘rasta’ jalan. Chowrasta menghubungkan Jalan Penang, Jalan Chowrasta, Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Tamil,” katanya sambil memberitahu bahawa semua etnik berniaga di Chowrasta kini.

Muslim George Town

Menurut Mohamed Nasir, komuniti umat Islam boleh terus lestari di bandar George Town hingga hari ini, antaranya disebabkan amalan generasi terdahulu mewakafkan tanah mereka untuk pembangunan ummah.

“Lebih kurang 18 hektar tanah wakaf di sekitar George Town, namun yang direkodkan sekarang lapan ekar sahaja.

“Di antaranya, adalah tapak Masjid Kapitan Keling dan tanah sekitarnya, yang diwakafkan oleh seorang kaya India Muslim bernama Haji Caudeer Mohudeen yang lebih terkenal dengan gelaran ‘Kapitan Kling’,” katanya.

Justeru, beliau memberitahu, pihak berwajib seharusnya mengkaji serta memajukan semula semua tanah wakaf terbabit supaya terus dilihat menjadi identiti masyarakat Islam serta mengekalkan ia sebagai warisan dunia.

“Perlu ada badan yang profesional untuk daftar semula semua tanah wakaf ini, juga diperlu badan profesional untuk memajukan semua tanah wakaf ini demi manfaat ummah,” jelas beliau.

Pembangunan tanah wakaf secara komersial seperti Wakaf Seetee Aishah dekat Seberang Jaya adalah model terbaik, di mana manfaat hartanah akan berlegar dalam kalangan umat Islam sahaja, disebabkan ‘ain’ tanah wakaf itu tidak boleh dijual beli.

“Bayangkan betapa untung komuniti umat Islam yang semakin padat di bandar ini (George Town), jika penempatan di atas tanah wakaf di sini dapat disusun semula,” nyata Mohamed Nasir.

Harapan
Mohamed Nasir berkata, pihaknya berharap projek menaik taraf Chowrasta siap seperti dirancang, agar menjadi ‘Central Business District’ bagi George Town sebagaimana dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.

Selain itu, beliau memberitahu, usaha ‘ pemutihan’ penjaja serta  penyelenggaraan kompleks baru Chowrasta di sini boleh diuruskan oleh MPPP nanti, demi kepentingan rakyat termasuk komuniti India Muslim.

“Selepas siap Chowrasta, saya harap lebih ramai penjaja boleh mendapatkan lesen berniaga di dalam kompleks ini

“Dan, pada masa sama, saya memohon jasa baik Kerajaan Negeri serta pihak MPPP agar dapat memberi kelonggaran atau proses pemutihan kepada ahli-ahli pemegang lesen terdahulu diberi perhatian, dan jika selebihnya kepada umum.

“Cuma, saya berharap, persatuan PELITA boleh berperanan lebih penting khususnya dalam merancang pembangunan manfaat di atas tanah wakaf George Town, demi memelihara identitiumat Islam di tapak warisan dunia UNESCO ini.

“Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di mana hasil usaha saya secara perseorangan walaupun dalam NGO selama 15 tahun telah tercapai demi masyarakat India Muslim serta kaum lain,” ujar Mohamed Nasir, sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng, Kon Yeow serta Teh Lai Heng (Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar).