Wakil Kerajaan, pembangkang setuju wujudkan Enakmen Sumber Air Pulau Pinang 2025 selepas bahas

Admin
01637953 9273 4b99 8b07 62a433e82e95

GEORGE TOWN – Anggota persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 hari ini sebulat suara bersetuju mewujudkan Enakmen Sumber Air Pulau Pinang 2025, selepas melibatkan sesi perbahasan daripada wakil kerajaan dan pembangkang di sini pada 22 Mei 2025.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari semasa membentangkan rang undang-undang (RUU) itu berkata bahawa negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan telah jauh ke hadapan dengan menggubal enakmen khusus bagi menubuhkan badan berkanun masing-masing seperti Lembaga Air Selangor dan Lembaga Air Perak

“Enakmen sedemikian membolehkan pengurusan dan perlindungan air yang lebih terancang, melindungi kawasan perlindungan sumber air dengan lebih baik, pengisytiharan kawasan perlindungan dan pengarah mempunyai kuasa terhadap pembangunan atau aktiviti di kawasan perlindungan, kawasan sumber air atau kawasan yang bersebelahan dengan sumber air,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Dengan adanya enakmen baharu itu juga, beliau menyatakan bahawa mana-mana pihak berkenaan boleh dikenakan tindakan saman tidak lebih daripada RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, jika didapati melepaskan sisa-sisa buangan ke dalam sungai atau sumber air lain.

“Kos untuk meremedi pencemaran tersebut dan segala kos berkaitan dengannya hendaklah ditanggung oleh pihak yang melakukan kesalahan itu,” ujarnya.

Pada 3 Mei lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan hasrat Kerajaan Negeri untuk membentangkan RUU khusus untuk mengurus, merancang dan melindungi sumber air mentah serta alam sekitar negeri ini secara lestari.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi mengumumkan hasrat itu seusai merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di kawasan lapang dekat puncak Empangan Air Itam.

Difahamkan, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya mempunyai peranan khusus berkaitan operasi mengabstrakkan serta merawat air mentah untuk memenuhi keperluan harian penduduk.

Sebagai syarikat operator air negeri, PBAPP juga bertanggungjawab melaksanakan operasi pengagihan air terawat, penyelenggaraan infrastruktur bekalan air, kerja-kerja meningkatkan kapasiti perbekalan air, pengurusan akaun pelanggan domestik serta komersial dan pemulihan sumber air terawat.

Dengan adanya lembaga pengurusan air mentah negeri berdasarkan enakmen baharu tersebut kelak, Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air mentah supaya kian lestari buat rakyat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB