Wakil Ketua Menteri agih bekalan makanan di pos SJR sekitar SPU

MEWAKILI Ketua Polis Daerah SPU, Jasmin Isa (tiga dari kiri) menerima pek sumbangan makanan daripada Lay Hock Peng (dua dari kiri) di IPD, Bertam di sini pada 20 Januari 2020.

PINANG TUNGGAL
– Lay Hock Peng, Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, lewat petang semalam mengagihkan pek bekalan makanan dan barang bantuan lain kepada anggota polis yang bertugas di beberapa pos sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
LAY Hock Peng

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, pihaknya harap insiatif sumbangan oleh pelbagai pihak termasuk firma swasta itu sebagai menghargai pengorbanan anggota barisan utama dalam kalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di pos SJR sepanjang tempoh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0).

“Ini, adalah sumbangan pelbagai pihak iaitu Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, orang perseorangan dan syarikat korporat, untuk barisan utama kita di SPU,” jelasnya selepas menyerahkan pek bantuan makanan di ‘Foxtrot’ SJR Bumbung Lima dekat Jambatan Merdeka di sini pada 20 Januari 2021.
Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi.
Sebelum itu, pasukan Hock Peng turut menurunkan sejumlah pek bantuan makanan di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPU, selain menyerahkan sumbangan barangan di dua ‘Foxtrot’ SJR dekat susur keluar Tol Bertam dan Pinang Tunggal.
JASMIN Isa

Bercakap pada sidang media berasingan, Ketua Logistik dan Teknologi IPD SPU, Asisten Superintendan (ASP) Jasmin Isa merakamkan penghargaan atas sumbangan ikhlas yang disampaikan oleh pasukan Hock Peng.

“Mewakili Ketua Polis Daerah SPU serta seluruh anggota polis di daerah ini ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri sebab bantu kami,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pek sumbangan makanan itu akan diagihkan kepada 10 lokasi SJR di sekitar SPU.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR