Wakil pejabat Ketua Menteri agih 500 pek dimsum halal dan sayur-sayuran segar secara percuma

Admin
SEORANG sukarelawan (kiri) sedang membungkuskan sayur-sayuran segar yang diperlukan oleh seorang pengunjung tempatan di perkarangan Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Jalan Satu Kepala Batas di sini menjelang tengah hari tadi.

BERTAM – Lay Hock Peng selaku Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini sekali lagi menganjurkan program agihan makanan berkualiti secara percuma di pejabat beliau dekat Jalan Satu Kepala Batas di sini.

LAY Hock Peng

“Sejak pagi tadi kira-kira 500 pek ‘dimsum halal’ dan pelbagai sayuran segar mula diedar kepada pengunjung supaya rakyat kebanyakan berpeluang menikmati makanan berkualiti, melalui acara kebajikan yang dianjurkan peringkat Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri kita.

“Program pada pagi ini adalah kesinambungan daripada beberapa program agihan makanan berkualiti serta sayur-sayuran segar yang kita pernah anjur sebelum ini termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun 2020.

“Dengan peruntukan daripada beberapa Ahli Majlis (bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) dan peruntukan saya sebagai Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, kita membeli sayur-sayuran daripada petani tempatan dan sebagainya, untuk diagihkan kepada penduduk sekitar,” jelasnya di sini pada 26 Mac 2022.

(Dari kiri) TAN Lim Teow, Tan Kooi Lim, Tan Boon Hooi, Lay Hock Pemg dan Yusri Mustafa dalam sidang media mempromosi ‘dimsum halal’ jenama Ocean Planet yang kini telah berjaya menembusi pasaran global di Dubai.
INFO lanjut mengenai ‘dimsum halal’, boleh hubungi Pengarah Urusan Ocean Planet, Tan Boon Hooi menerusi talian 0124806868.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan Seng Kong Shutter Industries Sdn. Bhd. (SK Shutter), Dato’ Tan Kooi Lim dan Pengarah Urusan Produk Makanan Enak Gembira Sdn. Bhd., Tan Boon Hooi iaitu usahawan ‘dimsum halal’ jenama Ocean Planet yang turut terlibat sebagai penganjur bersama program agihan sayur-sayuran dan sebagainya pada hari ini.

“Turut tidak dilupakan, saudara Yusri Mustafa iaitu Ketua Pejabat Pegawai Penyelaras Khas (Ketua Menteri) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Permatang Serdang, saudara Tan Lim Teow yang terlibat juga dalam memastikan komuniti tempatan dan para pekebun sekitar Parlimen Tasek Gelugor – Kepala Batas mendapat manfaat daripada program ini,” jelasnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya berharap Pusat Ekopelancongan Seberang Perai Utara (SPU) yang dirancang selama ini dapat dilancarkan selewat-lewatnya pada Disember 2022.

“Di bawah Pusat Ekopelancongan SPU ini nanti ada pelbagai destinasi seperti ‘Koridor Anggur dan Teratai’ (dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN Tunggal); rangka wanita purba berusia 5,710 tahun di tapak arkeologi Guar Kepah (Kepala Batas); Batu Sempadan British – Siam 1802 di Seberang Perai; yang akan menarik lebih ramai pelancong asing dan domestik ke negeri ini.

“Program Agihan Dimsum Halal dan sayuran-sayuran secara percuma pada hari ini adalah salah satu acara untuk mempromosi Pusat Ekopelancongan SPU itu nanti.

“Pada 5 hingga 10 Mei 2022, Pejabat Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri akan menganjurkan satu lagi acara promosi Pusat Ekopelancongan SPU ini iaitu Karnival Hari Raya Puasa bermula pada 5 petang hingga 9 malam di KADUN Pinang Tunggal.

“Kami yakin jika Pusat Ekopelancongan SPU ini berjaya diwujudkan seperti dirancang, ia akan menambahkan pendapatan isi rumah rakyat dalam kalangan para pekebun kecil, petani, usahawan dalam industri kecil dan sederhana (IKS) dan paling penting mereka dalam kelompok B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah),” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR