Wanita & ibu tunggal tunggak pembangunan negeri

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN BARU – Kerajaan Negeri menaruh harapan agar golongan wanita dan ibu tunggal supaya bersama-sama terus memperkasa diri membantu pembangunan ekonomi negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2014 Bersama-sama Ibu Tunggal anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai bantuan dan sumbangan yang disalurkan kepada golongan wanita dan ibu tunggal di sini diharap dapat menjadikan golongan terbabit terus proaktif menjadi tunggak keluarga dan negeri.

“Kerajaan Negeri mengambil berat sebarang usaha yang dilakukan golongan wanita dan ibu tunggal.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahukan semua golongan wanita termasuk ibu-ibu tunggal bersama-sama membantu pembangunan ekonomi Pulau Pinang. Wanita perlu kerja tanpa rasa serba salah atau kaget.

“Kerajaan Negeri amat memerlukan tenaga, kebijaksanaan dan bakti mereka kepada arah pembangunan negeri,” ujarnya ringkas pada sambutan majlis berkenaan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Hariszuan Jaharudin dan Pengurus Program Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita PWDC, Karen Lai.

Kira-kira 200 ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) diraikan pada majlis tersebut yang turut diisi dengan penyampaian sumbangan hamper kepada
mereka yang terpilih.

Dalam pada itu, menurut Karen, Kerajaan Negeri memberi komitmen tinggi kepada kepentingan wanita iaitu berkait rapat dengan kepentingan keluarga, komuniti dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana yang kian meningkat saban tahun untuk menyokong pelbagai program seperti Pusat Perkhidmatan Wanita, Pusat Jagaan Kanak-kanak, latihan kepimpinan wanita dan lain-lain,” ujar beliau.