Wanita perlu libatkan diri secara aktif dalam program komuniti setempat, saran ADUN

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid menyarankan supaya golongan wanita melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program komuniti yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

 

Menurutnya, program komuniti diadakan bukan hanya untuk merapatkan ukhuwah tetapi juga memberi peluang mewujudkan sistem sokongan kepada golongan wanita.

SYERLEENA Abdul Rashid (lima dari kanan) sempat merakamkan kenangan bersama-sama JPWK Seri Delima yang menjayakan sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 dekat sini.

“Perlu ada suatu sistem sokongan dalam kalangan wanita kerana ia (sistem sokongan) dapat membantu wanita dalam pelbagai segi antaranya sosial dan aktiviti – aktiviti sihat lain.

 

“Malah, saya turut menyarankan, khasnya JPWK untuk memperbanyak program-program komuniti yang bukan hanya melibatkan golongan wanita, tetapi juga seisi keluarga.

 

“Melalui penganjuran program-program komuniti ini, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan terutama ketika berhujung minggu,” katanya ketika berucap pada penutupan sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran JPWK Seri Delima di Pavilion Dewan MPKK Island Park, semalam.

 

Selain pertandingan mewarna membabitkan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun, turut diadakan adalah pemeriksaan tekanan darah dan glukosa secara percuma, perkongsian kesihatan oleh jurucakap City Wellness Pharmacy, pendaftaran bagi Program Penghargaan Warga Emas dan senamrobik.

ANTARA pemenang pertandingan mewarna.
SARINGAN kesihatan percuma.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN