Warga emas B40 terima suntikan vaksin demam selsema percuma

Admin

MEMBENDUNG… Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong dengan kerjasama Hospital Adventist Pulau Pinang hari ini memberikan kira-kira 50 suntikan vaksin percuma bagi membendung gejala demam selsema di kalangan warga emas.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berkata, pemberian vaksin tersebut dikhaskan kepada warga emas dari kumpulan B40 di kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Terubong.

 

“Selain COVID-19, demam selsema juga amat mudah menjangkiti golongan warga emas dan ini akan menyukarkan mereka.

 

“Jadi kita jalinkan kerjasama ini bersama dengan Hospital Adventist yang turut mengambil kesempatan melaksanakan program ini sebagai tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada komuniti di sini,” ujar Soon Hin yang juga Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

 

Soon Hin dalam pada itu turut berharap program sama dapat diperluaskan di kawasan MPKK lain bagi KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Paya Terubong.

 

Selain vaksin percuma, warga emas B40 yang layak, juga diberikan kit melawan COVID-19 berupa pelitup muka dan pensanitasi tangan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG