Warga MBPP harus kuasai teknologi, gembleng tenaga realisasi bandar pintar

PANTAI JEREJAK – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berharap agar seluruh warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dapat menggembleng tenaga untuk mendepani cabaran baharu dalam era teknologi kini.
Katanya, kerja kuat sahaja tidak memadai sebaliknya warga MBPP juga perlu menguasai pelbagai bidang terutamanya teknologi dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai bandar raya pintar.
“Dengan pembangunan negeri yang pesat, maka cabaran besar seperti aliran trafik, perubahan cuaca dan pengurusan sisa menjadi keutamaan untuk diberi perhatian.
“Jadi kerja secara kuat dan bijak amat penting supaya kita boleh memberi perkhidmatan terbaik, bahkan mampu menguruskan bandar raya ini dengan cemerlang,” ujar Tung Seang pada Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 dekat SPICE Convention Centre di sini pagi tadi.
Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Ketua-ketua Jabatan.
Pada majlis tersebut, seramai 227 kakitangan MBPP menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang berserta wang tunai, manakala 78 orang pesara turut diraikan dan menerima sijil penghargaan.
Dalam majlis sama, MBPP turut meraikan wira-wira kuning yang baru pulang daripada menyelesaikan misi bantuan banjir di Johor.
Pada kesempatan sama, Buletin Mutiara turut menemu bual beberapa kakitangan MBPP yang dipilih menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.
Bagi kakitangan Jabatan Khidmat Pengurusan, AFIZA ABDUL WAHAB, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diterimanya untuk kali kedua ini dapat menaikkan lagi semangat beliau untuk terus menabur bakti dengan cemerlang di MBPP.
“Pertama sekali, saya bersyukur kerana dapat penghargaan atas kerja-kerja yang dibuat secara berpasukan, jadi harap-harap lepas ini ada rezeki untuk kawan-kawan yang lain pula.
“Ini adalah kali kedua, sebelum ini anugerah yang lebih kurang sama diperoleh semasa berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang,” jelasnya yang sudah berkhidmat selama lima tahun di MBPP.
Turut menerima anugerah sama ialah anggota Penguatkuasa, WAN ROZANNA MOHAMED ISMAIL yang kini berkhidmat di Bilik Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Katanya, berdepan dengan orang awam ketika melaksanakan tugas di lapangan sebelum ini antara cabaran getir buat anggota wanita.
“Kebanyakan orang awam sukar nak terima apabila mereka dikenakan tindakan akibat kesalahan sendiri, masa itu akan jadilah situasi yang mana anggota-anggota dimarahi, jadi itu cabaran bagi kami sebagai anggota wanita.
“Sekarang di Bilik Kawalan CCTV, antara pengalaman tidak boleh dilupakan adalah apabila saya melihat satu kemalangan maut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu secara terus dari skrin.
“Jadi kami terus bertindak menghubungi anggota terdekat untuk bergegas ke lokasi kejadian sambil terus dapatkan bantuan ambulans bagi membantu mangsa,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.
Turut mencuri tumpuan lensa Buletin Mutiara ialah pesara Inspektor Kesihatan Kanan Bahagian Pelesenan, GOH ENG CHUN yang telah menabur bakti selama 32 tahun di MBPP.
Menurut Eng Chun, berkhidmat dalam MBPP adalah satu kepuasan bagi dirinya kerana secara tidak langsung berpeluang membangkitkan kesedaran terutamanya pemilik makanan terutamanya perihal kebersihan.
“Tugas utama semestinya memeriksa kebersihan premis makanan, jika ada premis yang melanggar piawaian kebersihan, MBPP akan arahkan tutup untuk pembersihan semula.
“Selepas bertahun-tahun menabur bakti, saya berasa puas apabila melihat hasil kerja kami yang dilaksanakan secara berpasukan termasuk meningkatkan kesedaran tentang kebersihan premis makanan di Pulau Pinang supaya pengujung dan pelancong yang datang rasa selesa dan selamat,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD