Warga negeri diseru bersama Kerajaan Negeri terus kekalkan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Admin

GEORGE TOWN – Seluruh warga Pulau Pinang diseru untuk terus bersama-sama Kerajaan Negeri dalam memelihara status George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menelusuri perjalanan menguruskan tapak warisan berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa meskipun peringkat awalnya banyak cabaran yang perlu dilalui Kerajaan Negeri termasuk usaha memulihkan semula hampir 500 rumah terbiar, namun kini ia membuahkan hasil.

Jelasnya, dengan penubuhan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dan ketegasan pihak Kerajaan Negeri mengubah undang-undang yang perlu, perjalanan menguruskan tapak warisan berkenaan kini mencapai kemajuan baik.

“Dengan penubuhan GTWHI, perjalanan menguruskan tapak warisan ini menunjukkan kemajuan baik sehingga George Town terkenal di rantau Asia Tenggara.

“Semua ini tak akan berhasil sekiranya tiada penglibatan serta sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk komuniti setempat,” ujar beliau pada Program George Town Heritage Walk 2019 di Lebuh Pantai dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengurus Besar GTWHI, Dr. Ang Ming Chee.

Sejurus itu, Kon Yeow melepaskan kira-kira 1,000 peserta sambil bersama-sama berjalan kaki sejauh lima kilometer (km) melewati bangunan-bangunan unik di sekitar Tapak Warisan Dunia George Town.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa beliau yakin segala usaha yang telah dilaksanakan selama 11 tahun ini akan terus menjulang nama George Town sebagai tapak warisan dunia.

“Penting untuk mengekalkan George Town kerana kekayaan nilai-nilai arkitektural dan bangunan di kawasan ini.

“Nilai-nilai budaya dalam tapak warisan ini adalah penting kerana jika tiada kelangsungan budaya di kawasan ini, ia sedikit-sebanyak akan menjejaskan tapak ini sebagai warisan dunia.

“Jadi, diharap semua warga negeri bersama-sama Kerajaan Negeri dan GTWHI untuk terus pastikan status ini terpelihara dan kekal,” serunya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ALISSALA THIAN