Warga Pulau Pinang masuk melalui KLIA perlu dikuarantin di Kuala Lumpur sahaja – Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri (kanan) menerima sumbangan 3,000 unit pelindung mula daripada Pesuruhjaya Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia, Khoo Boo Leong, di Komtar pada 5 April 2020.

GEORGE TOWN – Penumpang pesawat termasuk warga Pulau Pinang yang melalui pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dikuarantin di Kuala Lumpur serta tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke negeri ini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam siaran Live Facebook tengah hari tadi berharap semua pihak dapat bersabar serta terus patuh kepada saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula semalam, 3 April 2020.

“Saya berharap anda akan bersabar dan mematuhi arahan terbaru ini demi keselamatan semua.

“Percayalah, pengorbanan anda memberi makna yang besar kepada semua pihak,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi di Komtar pada 5 April 2020.

Tambah beliau, Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Lapangan Terbangsa Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) memberitahu bahawa tiada lagi penerbangan antarabangsa ke negeri ini sehingga satu tarikh akan akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa sehingga kini, sebanyak 370,000 pelitup muka dan 230,000 sarung tangan telah diedarkan kepada anggota barisan hadapan daripada pelbagai agensi serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya bersyukur apabila dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam bahawa sehingga kini tiada anggota barisan hadapan kita yang dijangkiti dengan virus pandemik ini.

“Ketua Polis Pulau Pinang memaklumkan bahawa kadar kepatuhan PKP sehingga 12 tengah malam 4 April 2020 ialah 97.8 peratus. Sedikit lagi untuk capai 100 peratus, ayuh kita buktikan!” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak kerana terus patuh pada amalan jarak sosial serta menjaga kebersihan diri mengikut panduan-panduan ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang menyumbang satu bulan gaji kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang.

“Semalam, Ketua Pembangkang dan Ketua Backbencher Dewan Undangan Negeri telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk menderma 30 peratus daripada gaji masing-masing juga kepada tabung berkaitan.

“Terima kasih kepada inisiatif semua wakil rakyat Pulau Pinang yang sanggup mengetepikan perbezaan politik dan bergabung melawan COVID-19,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada InvestPenang dan rakan-rakan industri di negeri Pulau Pinang yang telah tampil menghulurkan sumbangan bernilai RM1.5 juta untuk melawan wabak berkaitan.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menerima sumbangan 3,000 unit pelindung mula daripada Pesuruhjaya Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia, Khoo Boo Leong.

Masuk hari ke-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sebarang sumbangan awam boleh dikreditkan ke akaun Tabung Covid-19 Pulau Pinang, 557054620930 (nombor akaun Maybank), selain layari butiran lanjut di web www.PenangLawanCovid19.com.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS