PULAU PINANG bukan sekadar sebuah negeri yang pesat membangun, tetapi sebuah kanvas sejarah yang sarat dengan lapisan cerita, budaya dan identiti yang terbentuk sejak berabad lamanya. Di sebalik bangunan lama yang masih berdiri megah, lorong-lorong bersejarah dan komuniti berbilang budaya, tersimpan usaha berterusan untuk memastikan khazanah ini tidak hilang ditelan arus pembangunan moden.
Dalam satu temu bual bersama Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, AR. ZALENA ABDUL AZIZ baru-baru ini, pelbagai aspek penting berkaitan proses pewartaan, pemuliharaan dan pemeliharaan masa depan tapak warisan telah dikongsikan, menggambarkan betapa kompleks namun penting usaha menjaga legasi negeri ini untuk generasi akan datang.
Membuka bicara Zalena memaklumkan bahawa penilaian sesuatu tapak untuk disenaraikan sebagai tapak warisan negeri adalah berpandukan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016, yang mana antara kriteria utama yang hendak dipertimbangkan termasuklah:
- i. kepentingan sejarah atau hubungan antara warisan kebudayaan ketara atau tapak warisan semula jadi dengan warisan Negeri Pulau Pinang yang menggambarkan aspek penting masyarakat, ekonomi, budaya, sejarah, alam semula jadi, sains, agama, reka bentuk dan ciri-ciri estetik atau personaliti sejarah terkemuka;
- ii. reka bentuk warisan kebudayaan ketara yang mempunyai nilai estetik dan reka bentuk seni bina, fabrik, hiasan serta ketukangan secara intrinsik;
- iii. pembaharuan atau pencapaian saintifik atau teknikal yang mempamerkan contoh penting mengenai jenis dan teknik bangunan tertentu di Negeri Pulau Pinang;
- iv. kepentingan ikatan sosial atau budaya masyarakat, komuniti, bangsa atau etnik;
- potensi pendidikan dan kajian ilmiah berkaitan warisan kebudayaan ketara atau warisan semula jadi di Negeri Pulau Pinang;
- v. kepentingan dalam mempamerkan suatu kekayaan, kepelbagaian atau integrasi luar biasa;
- vi. keistimewaan, keunikan warisan kebudayaan ketara atau warisan semula jadi;
- vii. nilai kumpulan suatu kelompok bangunan yang kepentingannya memenuhi mana-mana kriteria di atas;
- viii. perwakilan sifat suatu warisan kebudayaan ketara atau warisan semula jadi sebagai sebahagian daripada suatu kelas atau jenis warisan kebudayaan ketara atau warisan semula jadi; atau
- ix. faktor lain yang relevan dalam menentukan kepentingan warisan.
“Kesemua aspek ini akan dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara yang dilantik di bawah Majlis Warisan Negeri.
Kebiasaannya, ahli jawatankuasa ini terdiri daripada pensyarah, ahli sejarah, ahli arkeologi, konservator dan arkitek.
“Proses pencalonan tapak warisan tidak berlaku secara sembarangan, ia boleh dimulakan oleh pihak pejabat atau orang awam melalui borang rasmi yang boleh didapati melalui laman sesawang Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang.
“Seterusnya, penilaian akan dibuat oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara yang akan menentukan sama ada sesuatu pencalonan diterima, ditolak atau ditangguhkan berdasarkan kriteria dan tatacara yang dinyatakan dalam Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang (Enakmen 14) serta Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016.
“Keputusan tersebut kemudiannya akan disahkan oleh Majlis Warisan Negeri yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Ketua Menteri sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri untuk diluluskan.
Setelah kelulusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri diperoleh, pemakluman kepada pemilik dan orang awam berkenaan penetapan tapak tersebut sebagai tapak warisan akan dihantar.
“Pemakluman ini penting untuk dilakukan bagi memberi peluang proses bantahan dan rayuan dilakukan sebelum tapak tersebut ditetapkan sebagai Tapak Warisan,” jelasnya.
Menurut beliau, setelah tempoh bantahan dan rayuan yang diperuntukkan tamat, Warta Notis Penetapan Tapak Warisan akan dikeluarkan sebagai pengumuman rasmi selaras perenggan 24(1)(a) Enakmen 14.

Warisan bentuk identiti negeri
Tapak-tapak warisan di Pulau Pinang, kata Zalena, bukan sekadar struktur fizikal, tetapi merupakan naratif visual evolusi sejarah negeri.
Ia membentuk identiti unik negeri ini sebagai pusat pertemuan pelbagai budaya pada suatu ketika dahulu yang diteruskan sehingga kini.
“Oleh itu, pemeliharaan dan pemuliharaan tapak ini penting bagi memastikan kesinambungan sejarah agar generasi akan datang dapat memahami asal-usul dan jati diri mereka melalui tinggalan warisan yang masih hidup.
“Malah, warisan Pulau Pinang secara umumnya dikenali pada peringkat antarabangsa, misalnya melalui pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan wajar dipelihara dengan baik,” ujarnya.
Walaupun Pulau Pinang pesat membangun, beliau yakin bahawa Kerajaan Negeri tetap menekankan prinsip bahawa pembangunan dan pemeliharaan warisan mesti bergerak seiring.
“Selaras subseksyen 34(1) Enakmen 14 dibaca bersama subperaturan 8(1) Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016, tapak warisan hendaklah dipastikan sentiasa dalam keadaan baik dan bagi mengimbangi keseimbangan pemeliharaan warisan dan pembangunan moden, Pelan Pengurusan Pemuliharaan Tapak Warisan akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Ketara yang akan dipantau oleh Pesuruhjaya Warisan Negeri.
“Pelan Pengurusan ini akan bertindak sebagai garis panduan, setiap cadangan pembangunan di dalam atau di sekitar tapak warisan perlu dirujuk dan mendapat ulasan teknikal daripada Pesuruhjaya Warisan Negeri.
“Pembangunan tidak dihalang, namun ia perlu bersifat peka warisan (heritage-sensitive) agar nilai asal sesuatu tapak tidak terjejas,” katanya yang juga Ahli Panel merangkap Pengerusi Gantian Jawatankuasa Technical Review Panel (JTRP).
Jelasnya lagi, garis panduan yang diguna pakai pada peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dasar pembangunan lain seperti Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) juga membantu dalam konteks ini.
Cabaran melindungi warisan
Antara cabaran terbesar yang dihadapi dalam memelihara dan memulihara tapak warisan, kata Zalena adalah stigma masyarakat yang mana warisan sering dianggap ‘lama’ dan tidak relevan, sedangkan ia merupakan khazanah hidup yang bernilai tinggi.
Keduanya adalah kekangan kewangan bagi memelihara dan memulihara tapak-tapak warisan ini yang mana usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hendaklah sentiasa dijalankan sama ada pada pihak pemilik tapak mahupun di pihak Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang.
“Walaupun berdepan dengan cabaran kos yang semakin meningkat, kita sentiasa proaktif dalam memanfaatkan setiap ruang dan peluang kerjasama dengan pelbagai agensi.
“Sinergi ini membolehkan kita menjana lebih banyak sumber sokongan bagi memastikan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan ini dapat diteruskan dengan jayanya,” katanya.
Selain itu, katanya lagi, tekanan pembangunan yang kian pesat dan isu pemilikan tanah yang rumit turut memberi cabaran besar.
Tambah beliau, keperluan sistem data moden, dron dan pakar teknikal untuk dokumentasi yang lebih lengkap juga menjadi cabaran yang dihadapi dalam usaha mengekalkan tapak warisan di Pulau Pinang.
“Walau bagaimanapun, pejabat ini sedang berusaha untuk menambah baik sistem pendokumentasian warisan di Pulau Pinang,” tegasnya.

Komuniti penjaga sebenar warisan
Komuniti, menurut Zalena, adalah ‘penjaga’ sebenar warisan yang memainkan peranan penting sebagai ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan dalam memantau dan memelihara warisan.
“Kerjasama ini membantu menyemai rasa pemilikan (sense of ownership) dan kebanggaan sekali gus membantu menyampaikan ilmu warisan kepada orang luar khasnya generasi muda.
Ia diperkukuhkan melalui pelbagai program libat urus pada peringkat komuniti, penganjuran seminar dan pertandingan, aktiviti warisan berterusan serta pendidikan warisan pada peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Tambahan pula, buku berkenaan Warisan Ketara dan Warisan Tidak Ketara perlu diperbanyak sebagai bahan bacaan di sekolah mahupun universiti,” katanya.
Jelas beliau lagi, tapak warisan yang terdapat di negeri ini dianggap sebagai ‘buku teks sejarah hidup’ yang memberi pengalaman pembelajaran secara langsung.
“Pendekatan ‘melihat sendiri’ lebih bermakna daripada sekadar membaca atau ‘seeing is believing’, yang mana ia membantu dalam tujuan penghayatan dan pembelajaran berunsurkan seni bina warisan,” katanya.
Menyentuh mengenai sokongan Kerajaan Negeri, Zalena memaklumkan antara bentuk bantuan yang disediakan termasuklah geran pemuliharaan, khidmat nasihat teknikal, kajian dan pelan pengurusan serta sokongan dana tambahan daripada pihak luar.
“Tapak warisan yang dalam keadaan asal mempunyai nilai seni bina yang sangat tinggi, oleh itu ia perlu dikekalkan dalam keadaan baik, termasuk kerja konservasi, landskap dan pengekalan elemen asal yang autentik dan menarik.
“Apabila mewartakan tapak baharu, kita dapat mempelbagaikan produk pelancongan di luar kawasan UNESCO sekali gus membantu ekonomi setempat melalui aktiviti perniagaan dan penceritaan sejarah.
“Pewartaan makanan warisan juga menjadikan Pulau Pinang sebagai hab makanan warisan yang unik dan asli, menjadi lokasi ‘food hunters’ dan pencipta kandungan yang akan menyemarakkan lagi industri pelancongan berunsurkan gastronomi,” jelasnya.

Langkah mengekalkan dan melindungi aset warisan sama ada pakaian, seni pertahanan diri dan budaya sarapan pagi, kata Zalena, di samping pewartaan di bawah Enakmen 2011 dan Akta Warisan kebangsaan 2005 (Akta 645) dapat menjamin harta warisan ini kekal untuk generasi akan datang.
Generasi muda pelindung warisan
Zalena meletakkan harapan tinggi kepada generasi muda sebagai pewaris dan pelindung utama warisan negeri.
“Mereka perlu didedahkan dengan nilai sejarah dan identiti unik sesuatu kawasan seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, Tapak Biosfera Bukit Bendera atau bangunan bernilai warisan, akan menjadikan mereka lebih menghargai kepelbagaian budaya, seni bina dan tradisi yang membentuk jati diri negeri ini.
“Mereka juga mampu memanfaatkan teknologi dan kreativiti dalam mempromosikan warisan melalui media sosial, kandungan digital dan inovasi pelancongan agar warisan negeri ini terus relevan dan menarik kepada dunia luar.
“Secara tidak langsung, meningkatkan potensi terhadap kelestarian warisan melalui dasar pemeliharaan elemen warisan yang sentiasa dikemas kini selaras dengan polisi serta dasar daripada UNESCO ataupun Majlis Antarabangsa bagi Monumen dan Tapak (ICOMOS) pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Zalena memberitahu bahawa warisan bukan sekadar tinggalan sejarah yang terpahat pada bangunan lama atau tapak bersejarah, tetapi merupakan akar kepada identiti negeri dan cerminan jati diri masyarakat.
Menjaga warisan bererti menjaga masa depan.
“Usaha berterusan oleh Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang membuktikan bahawa keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan bukan sesuatu yang mustahil, sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab bersama demi memastikan khazanah negeri ini terus hidup, dihargai dan diwarisi,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri telah menetapkan 15 lokasi sebagai tapak warisan. Antaranya termasuklah:
- i. Batu Bersurat Cherok To’kun, Seberang Perai Tengah (SPT)
- ii. Bangunan Persatuan Leng Eng Seah Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU)
- iii. Bangunan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang, Daerah Timur Laut (DTL)
- iv. Bangunan Lembaga Muzium Pulau Pinang, DTL
- v. Menara Jam Besar, DTL
- vi. Penang Free School, DTL
- vii. Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, DTL
- viii. Kota Cornwallis, DTL
- ix. Tapak Arkeologi Guar Kepah, SPU
- x. Masjid Kapitan Keling, DTL
- xi. Masjid Melayu Leboh Acheh, DTL
- xii. Makam Sheikh Omar, DTL
- xiii. Leong San Tong Khoo Kongsi, DTL
- xiv. Bangunan Dewan Bandaraya dan Bandaran Pulau Pinang, DTL
- xv. Gereja St. George, DTL



Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING, DARWINA MOHD. DAUD, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MUHAMMAD IQBAL HAMDAN