Kaunter luar PDTTL permudah urusan rakyat, dekatkan perkhidmatan kerajaan dengan komuniti

Admin
whatsapp image 2026 05 14 at 10.06.23

GEORGE TOWN – Inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) melaksanakan kaunter luar kutipan cukai tanah dan cukai petak dilihat memudahkan urusan rakyat apabila pelbagai perkhidmatan kerajaan dibawa terus ke kawasan komuniti, termasuk di luar waktu operasi biasa pejabat.

 

Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, ISMASUHAIMI SHARIFF berkata, pendekatan mesra rakyat itu bukan sahaja membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kerajaan, malah memberi kemudahan kepada golongan bekerja, warga emas dan individu yang mempunyai kekangan pergerakan untuk menyelesaikan urusan tanpa perlu hadir ke pejabat utama.

whatsapp image 2026 05 14 at 10.06.22 (1)
ISMASUHAIMI Shariff ketika ditemui di pejabat beliau di Tingkat 51, Komtar pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, pelaksanaan kaunter luar tersebut merupakan sebahagian usaha menyokong agenda transformasi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan dekat dengan masyarakat.

 

“Melalui pelaksanaan kaunter di luar pejabat dan di luar waktu operasi biasa, perkhidmatan dapat dibawa lebih dekat kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan yang jauh atau sukar mendapatkan akses ke pejabat kerajaan.

 

“Ini membolehkan urusan dilakukan dengan lebih mudah, cepat dan selesa tanpa perlu hadir ke pejabat utama,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Tingat 51 Komtar di sini pada 13 Mei lalu.

whatsapp image 2026 05 14 at 10.06.32
KAUNTER luar PDTTL di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia pada 10 Mei lalu mendapat sambutan pengunjung. (Ihsan: PDTTL)

Selain bayaran cukai tanah dan cukai petak secara tanpa tunai menerusi aplikasi PgLAND atau kad debit dan kredit, orang ramai, kata Ismasuhaimi turut boleh membuat semakan hak milik, pendaftaran akaun, pengemaskinian maklumat pemilik serta permohonan rayuan pengurangan cukai tanah bagi tahun 2026.

 

PDTTL turut membuka kaunter iSejahtera dalam program sama bagi memperluaskan capaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat.

 

“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, PDTTL menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), jawatankuasa kariah masjid serta perbadanan pengurusan skim pemajuan strata,” katanya.

 

Jelas beliau, pemilihan lokasi kaunter luar dibuat berdasarkan keperluan masyarakat dan kawasan tumpuan ramai seperti pasar awam, pasar raya, kompleks membeli-belah serta kawasan strata yang mempunyai kadar tunggakan cukai tinggi.

 

Pelaksanaan kaunter luar ini juga menjadi medium memperkukuh agenda pendigitalan kerajaan menerusi penggunaan sistem PgLAND sebagai platform utama urusan tanah di Pulau Pinang.

 

“Amalan pembayaran tanpa tunai turut dilaksanakan bukan sahaja di kaunter kutipan luar, malah di kaunter Single Point of Contact (SPOC) PDTTL melalui penggunaan kad debit dan kad kredit selaras dengan usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan mesra rakyat,” katanya lagi.

 

Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata bahawa pihaknya akan terus perluaskan pembukaan kaunter bergerak atau kaunter luar ke beberapa lokasi lain sekitar daerah Timur Laut dalam masa terdekat.

 

whatsapp image 2026 05 14 at 10.06.23 (1)

 

Difahamkan, antara lokasi seterusnya adalah di Econsave Farlim, Bandar Baru Ayer Itam pada 16 dan 17 Mei 2026 dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

 

Selain itu, lokasi lain adalah di Gelanggang Bola Keranjang Bandar Sri Pinang, Persiaran Karpal Singh pada 24 Mei 2026 sempena Program Karnival Hari Keluarga, Jualan MADANI KUSKOP dan Kempen Kesihatan DUN Sungai Pinang 2026.

 

Dalam perkembangan sama, Ismasuhaimi megingatkan orang ramai  bahawa tempoh bayaran cukai tanah dan cukai petak adalah sehingga 31 Mei 2026, manakala permohonan rayuan pengurangan cukai tanah turut dilanjutkan sehingga tarikh sama.

 

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: LAW SUUN TING & PDTTL