Warta Masjid Jamek Batu Uban jadi bangunan bersejarah

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri wajar mewartakan Masjid Jamek Batu Uban yang didirikan pada tahun 1734 dan kini berusia kira-kira 279 tahun sebagai satu lagi produk warisan pelancongan, bersekali dengan bangunanbangunan bersejarah lain di George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan berkata, langkah mewartakan bangunan bersejarah itu akan mengkayakan lagi produk pelancongan di negeri berkenaan.

“Kita minta Pulau Pinang memasukkan itu (Masjid Jamek Batu Uban) sebagai bangunan warisan pelancongan kerana masjid itu berusia lebih 200 tahun,” ujarnya semasa sesi perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Profesor Dr. Ahmad Murad Merican daripada Universiti Petronas dekat Perak pernah menyatakan bahawa Batu Uban adalah pelabuhan pertama dibuka sebelum George Town.

Dengan restu baginda Sultan Kedah Tuanku Muhamad Jiwa, Datuk Nakhoda Nan Intan membuka pulau ini 50 tahun sebelum kedatangan Kapten Francis Light pada tahun 1786.

Masjid Jamek Batu Uban yang didirikan seawal tahun 1734 lagi serta masih boleh disaksikan sampai sekarang membuktikan bahawa bangunan bersejarah itu wajar dinilai sebagai produk pelancongan
Kerajaan Negeri yang bernilai.

Tambah Jayabalan, kedudukan Batu Uban di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dekat Bayan lepas dan George Town menjadikan Masjid Jamek Batu Uban berada pada lokasi strategik untuk dikunjungi pelancong.

Direkodkan, seramai 464,455 pelancong asing direkod masuk pada tahun 2008, 614,039 orang pada tahun 2012.