Wira-wira misi banjir MBPP selamat pulang, terima pujian komited laksana tugas

PADANG KOTA – Kumpulan pertama wira-wira Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang melaksanakan misi bantuan banjir di Selangor dan Pahang selamat tiba di  Dewan Bandaraya di sini malam ini.

 

 

Kepulangan mereka disambut meriah oleh Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Ir. A. Rajendran.

 

 

Menurut Tung Seang, MBPP merupakan pasukan terawal yang menggerakkan pasukan misi banjir ke  Selangor dan Pahang pada 19 Disember tahun lalu sebagai membalas jasa bantuan dihulurkan ketika Pulau Pinang yang dilanda banjir pada November 2017.

 

 

“Melalui maklum balas yang saya terima, rata-rata memuji usaha keras wira-wira MBPP yang bertungkus-lumus membantu misi membantu kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir.

 

 

“Saya difahamkan, setelah sampai pada malam tersebut, pada jam 1 pagi, wira-wira kita telah mula melakukan kerja-kerja pembersihan.

 

 

“Walaupun saya sudah berpesan untuk pastikan rehat mencukupi namun kerja-kerja tetap diteruskan sehingga jam 4 pagi kerana mereka berpendapat itu adalah waktu sesuai dalam mengelakkan kesesakan lalu lintas pada siang hari,” ujar beliau kepada pemberita sejurus menyambut pulang wira-wira terbabit tepat jam 9 malam tadi.

 

Antara kawasan yang dibantu oleh MBPP termasuklah di Shah Alam dan Klang di Selangor serta Bentong dan Maran di Pahang.

 

 

Dalam pada itu, Tung Seang memaklumkan bahawa fokus utama skuad misi banjir MBPP meliputi penghantaran bekalan makanan, pembersihan sampah dan selut.

 

 

“Operasi sehingga 31 Disember 2021 ini melibatkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Khidmat Perbandaran dan Jabatan Kejuruteraan (Bahagian Mekanikal).

 

 

“Kini masih terdapat baki 18 daripada 90 orang masih di Klang dan dijangka pulang 5 Januari (Rabu) ini,” jelasnya lagi.

 

 

Difahamkan, selain tenaga kerja, MBPP turut menggerakkan logistik seperti empat unit lori Combi, lori HST, skid loader, SSL (Bobcat), van dan pacuan empat roda.

 

 

Mengulas lanjut, Tung Seang turut memberikan cuti pada 3 Januari ini kepada kakitangan-kakitangan terlibat dan akan mempertimbangkan ganjaran lain.

 

 

Ditanya mengenai bantuan selanjutnya di negeri dan kawasan lain yang masih terjejas, beliau berkata ia masih dalam pertimbangan kerana mahu kakitangannya turut mendapat rehat yang cukup sebelum terlibat dalam sebarang misi baharu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING