‘WoodHAVEN’ mercu tanda baharu taman rimba bandar Seberang Perai

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan) diiringi Soon Lip Chee (depan, kiri) diberi penerangan mengenai peta lokasi kemudahan-kemudahan yang bakal dibangunkan di taman rimba bandar ‘WoodHAVEN’, di sini tadi.

PADANG LALANG – ‘WoodHAVEN’ bakal menjadi mercu baharu taman rimba bandar di Seberang Perai dengan gabungan konsep dua kawasan rekreasi terkenal sedia ada negeri iaitu Taman Bandaraya dan Taman Botani Pulau Pinang.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pecah Tanah Projek Penghijauan ‘WoodHAVEN’ di sini pada pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta kepada agensinya, Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) untuk membangunankan tanah berkeluasan 6.5 ekar berhampiran hilir Sungai Rambai di sini.

Beliau yang juga Exco Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa projek yang bakal melimpah manfaat terbanyak kepada semua kawasan kediaman komuniti di sini tersebut dijangka mengambil masa pemajuan kira-kira lapan bulan.

“Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri amat menitikberatkan usaha-usaha penghijauan dan mentransformasikan tempat-tempat awam sebegini agar rakyat dapat menikmati serta memanfaatkan penggunaan infrastruktur yang lebih baik untuk aktiviti riadah dan rekreasi.

“Saya berharap ia (taman rimba bandar ‘WoodHAVEN’) akan menjadi tempat rekreasi pilihan bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah turut menjadi medium untuk penduduk saling berinteraksi antara satu sama lain sekali gus membantu integrasi sosial serta kesejahteraan hidup rakyat,” ucapnya yang juga Pengerusi PSDKLPP sempena Majlis Pecah Tanah Projek Penghijauan ‘WoodHAVEN’ pada 9 April 2022.

KETUA Menteri (dua dari kiri) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri  lain mengadakan lawatan tapak di sini tadi.
KETUA Menteri (tengah), Chong Eng (kiri) dan Soon Lip Chee (kanan) menyempurnakan acara penanaman anak pokok ‘Mertajam’ sambil disaksikan oleh beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa projek ‘WoodHAVEN’ berkaitan juga merupakan sebahagian usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sebelum itu,, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata bahawa tapak parkir Caravan, ruang intepritasi awam (tensile membrane), alur rimba, family lawn, terrace seating, taman permainan kanak-kanak, tree bank, boardwalk trail, walkway trail, kawasan berbeku dan tapak perkhemahan merupakan antara kemudahan yang akan diwujudkan di taman rimba bandar ‘WoodHAVEN’ kelak.

“Saya rasa projek ini adalah sangat sesuai kerana berada berhampiran dengan begitu banyak kawasan taman kediaman.

“Saya berharap penduduk sekitar khasnya kanak-kanak di Desa Wawasan dapat menghargai kemudahan baharu ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Tambah Chong Eng, cadangan mewujudkan semua komponen dan kemudahan tersebut adalah hasil daripada maklum balas awam secara bersemuka yang diadakan sebelum ini dengan melibatkan kumpulan tumpu bincang, di bawah program ‘HabaqMai’.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan JPWK (Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga) di sini kerana terlibat menjayakan program ‘HabaqMai’ pada 28 Mac 2021 secara semuka serta secara dalam talian pada 16 April 2021,” ulasnya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad dan Pengarah Eksekutif PSDKLPP, Zul Kahar Khamis merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara pecah tanah projek taman rimba bandar ‘WoodHAVEN’ berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS