Wujud Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang dipuji Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar petang ini mengiringi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melawat tapak ‘hospital medan’ di perkarangan kawasan parkir berhadapan Blok A, Hospital Pulau Pinang (GH) di sini.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyertai lawatan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Khairy memberitahu bahawa inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 Pulau Pinang dengan menghubungi nombor talian 999, memudahkan lagi para pesakit mendapatkan maklum balas serta rawatan berkaitan penyakit COVID-19.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah menggerakkan beberapa ‘core centre’ yang dilihat sangat penting untuk memantau mereka yang menjalani kuarantin dari rumah.

“Selaras dengan usaha tersebut, kita (Kerajaan Persekutuan) juga akan meningkatkan keupayaan Pusat Panggilan Penilaian COVID-19 (CAC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara maya supaya penilaian (pesakit berkaitan COVID-19) dapat dibuat secara dalam talian tanpa memerlukan mereka berkaitan pergi ke CAC sedia ada secara fizikal,” jelasnya di sini pada 11 September 2021.

Selain itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau (Negeri Sembilan) turut memberitahu bahawa pihaknya menjangkakan proses penyediaan kemudahan hospital lapangan dilengkapi 100 katil tambahan berserta fasiliti bantuan pernafasan dan beberapa kemudahan lain sebagaimana di sebuah unit rawatan rapi (ICU) bakal mengambil masa kira-kira seminggu.

“Secara asasnya, kita (KKM) bersetuju dengan cadangan tersebut (bina hospital medan), mulai esok, mungkin ambil masa selama seminggu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Khairy turut memberitahu bahawa KKM akan berbincang dengan pihak berkaitan berhubung cadangan untuk menyewa dewan bedah di hospital-hospital swasta tertentu sekitar negeri ini, memandangkan doktor daripada sektor perkhidmatan kesihatan awam di Pulau Pinang sanggup menjalankan pembedahan pesakit kronik serta kes-kes yang perlu disegerakan di institusi perubatan berkenaan.

Ini kerana, menurut beliau, kemudahan dewan bedah di hospital-hospital kerajaan sekitar Pulau Pinang ketika ini beroperasi dalam kapasiti penuh, susulan peningkatan kes kritikal berkaitan pesakit COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN