Wujudkan lebih banyak Perpustakaan Digital di Seberang Perai

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee mahu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan lebih banyak Perpustakaan Digital di kawasan Seberang Perai demi manfaat masyarakat setempat.

Beliau berkata, Seberang Perai memerlukan sekurang-kurangnya tiga buah Perpustakaan Digital sekiranya mengambil kira keluasan tanah dan populasi penduduk yang kini kira-kira 933,900 orang.

“Perpustakaan Digital Fasa 1 dibina pada 2016 dan mendapat sambutan yang baik iaitu sebanyak 5,579 akses penggunaan manaklaa pada 2019 pula Fasa 2 telah dibina dengan anggaran 188,000 orang.

“Namun, jika dilihat sekarang terdapat empat Perpustakaan Digital dibina di negeri ini yang mana tiga buah adalah di sebelah pulau manakala hanya satu sahaja di seberang (Perai).

“Penduduk Seberang Perai sememangnya sangat menantikan Perpustakaan Digital, namun saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri tidak ada cadangan penubuhannya selain yang sedia ada di Butterworth.

“Justeru, saya meminta supaya Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan tersebut kerana jika dilihat daripada populasi dan keluasan tanah, Seberang Perai sepatutnya mempunyai Perpustakaan Digital dalam jumlah yang sama atau lebih,” katanya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Justeru, Lee Lee menyeru agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan tawaran Persatuan Bekas Murid-murid Jit Sin untuk menggunakan Tingkat 1 dan 3 bangunan persatuan itu untuk  dijadikan sebagai Perpustakaan Digital.

“Ruang yang ditawarkan adalah masing-masing berkeluasan 120 meter persegi dan 300 meter persegi dengan 50 kapasiti tempat letak kereta.

“Malah, lokasinya juga terletak berhampiran dengan pekan Bukit Mertajam selain berdekatan dengan beberapa buah sekolah seperti Bukit Mertajam High School, SMK Jit Sin dan Convent Bukit Mertajam yang mempunyai ramai pelajar,” saran beliau lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD