Wujudkan persekitaran sekolah selamat, pemberian vaksin kepada 55,539 guru disambut baik

Admin

DATUK KERAMAT – Usaha kerajaan untuk mempertimbangkan seramai 55,539 guru yang dikategorikan berisiko tinggi di seluruh Malaysia untuk menerima suntikan vaksin pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sambut baik.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pengumuman Menteri Kanan Pendidikan pada 27 Februari lalu tersebut disambut baik memandangkan para guru juga adalah wira barisan hadapan yang perlu berada di sekolah demi tanggungjawab masing-masing.

“Memandangkan sesi persekolahan telah bermula justeru, dimohon agar pihak Kementerian (Pendidikan Malaysia) berkenaan dapat mempercepat serta memastikan agar semua guru di seluruh Malaysia mendapat suntikan vaksin mereka secepat mungkin demi menjamin persekitaran sekolah yang selamat,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Jagdeep sebelum itu mengadakan lawatan dan pemeriksaan pematuhan ke Sekolah Menengah Persendirian Cina Han Chiang (HCHS) berkenaan demi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) diikuti sepenuhnya.

Hadir sama Pengetua HCHS, Kung Bee Lee.

Difahamkan sekolah berkenaan mempunyai seramai 2,809 pelajar dengan 190 warga pendidik.

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep memaklumkan bahawa sehingga 4 April 2021, kadar pematuhan di Pulau Pinang berada pada tahap konsisten dan tertinggi.

“Di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebanyak 769, 579 pemeriksaan telah dilakukan dengan kadar pematuhan mencapai 99.62 peratus dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sebanyak 927,091 pemeriksaan (99.38 peratus).

“(Dan) sehingga tarikh sama sejumlah 554, 150 warganegeri telahpun mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS