Wujudkan tapak lupus najis babi atasi lambakan, pencemaran di Kampung Selamat – Norlela

DR. Norlela Ariffin (kanan) dan Dr. Anum Man dalam sidang media di sini pada lewat petang tadi.

SEBERANG JAYA – Lambakan najis babi di Kampung Selamat dekat Pinang Tunggal sejak lebih 40 tahun lalu hanya boleh diatasi sepenuhnya sekiranya tapak pelupusan najis (trenching site) diwujudkan di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin memberitahu bahawa setakat ini pihaknya dengan kerjasama agensi persekutuan, Indah Water Konsortium (IWK) telahpun mengenal pasti sebidang tanah Permohonan Pendudukan Sementara (TOL) seluas dua ekar dekat Kampung Selamat untuk dijadikan loji rawatan kumbahan najis babi.

“Selagi tidak ada tapak pelupusan najis di negeri ini, lambakan najis lebih 40 tahun di Kampung Selamat tidak akan ke mana-mana (dan boleh dilupuskan).

“Kita kena sekat lambakan najis babi sedia ada daripada terus ke sungai dengan mewujudkan loji rawatan kumbahan daripada najis babi ini, pada masa yang sama tangani sisa di punca selama 40 tahun tersebut dengan mewujudkan ‘trenching site’ ini,” jelasnya ketika dihubungi Buletin Mutiara di sini pada 15 Disember 2020.

Lewat petang semalam, Norlela mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelesenan negeri bagi ladang babi di bawah Enakmen Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2020.

Bertempat di Hotel Ixora dekat Seberang Jaya, Pengarah Vaterinar Negeri Pulau Pinang (JPVPP), Dr. Anum Man; beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta wakil bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menyertai mesyuarat tertutup tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Norlela memberitahu bahawa JPVPP mulai 1 November 2021 akan mengeluarkan lesen penternakan babi dalam tiga kategori iaitu lulus dengan syarat; lulus dengan penambahbaikan dan lulus dengan amaran.

“(Bermula pada 1 Januari 2021,) ladang yang menternak tanpa lesen ini akan dikenakan tindakan kompaun tidak melebihi RM15,000.

“Semua ladang babi perlu dinaik taraf menggunakan sistem penternakan babi moden menjelang 31 Disember 2021, sebelum penguatkuasaan berkaitan sistem penternakan babi moden ini diadakan pada 1 Januari 2022.

“Mereka yang tidak mempunyai lesen (ladang penternakan babi), berdasarkan enakmen ini, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit bersalah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Difahamkan, di Pulau Pinang terdapat 166 ladang ternak babi.

Daripada jumlah itu, JPVPP sehingga kini telahpun memberi kelulusan kepada 126 daripada 139 permohonan ladang ternak babi, untuk pelbagai kategori lesen.

Selain itu, Norlela memberitahu bahawa jumlah penghasilan najis tiap-tiap hari daripada 133,000 ekor babi dari 77 ladang di Kampung Selamat sahaja adalah kira-kira 887 tan.

Justeru, Norlela berkata pihaknya berharap bahawa pelaksanan Enakmen Penternakan Babi 2016 dan Peraturan Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Pulau Pinang) 2020 akan membantu mengurangkan pencemaran yang selama ini terpaksa dihadapi oleh penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Anum memberitahu bahawa jumlah hasil tahunan bagi sektor penternakan babi di negeri ini adalah kira-kira RM268 juta, dengan Tahap Kecukupan Diri (SSL) adalah kira-kira 260 peratus.

Justeru, beliau berkata bahawa JPVPP percaya bekalan daging babi di negeri ini masih terjamin sungguhpun langkah penguatkuasaan enakmen tersebut pada awal tahun 2022 mungkin mengakibatkan penyusutan separuh SSL, kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS