Yakin kemampuan pimpinan Ketua Menteri – Anthony Loke

Admin

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menzahirkan keyakinan atas kemampuan pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk terus menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, sekali gus membawa negeri ini ke tahap yang membanggakan.

ANTHONY Loke Siew Fook dan Ketua Menteri pada sidang media tengah hari tadi.

Menurut Siew Fook, sejak Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) mengambil alih pentadbiran pada 2008 di Pulau Pinang, pelbagai pencapaian yang membanggakan telah dikecapi termasuk perkembangan dari segi pembangunan.

“Saya amat berminat dengan inisiatif yang diusahakan secara bersama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan antaranya inisiatif ‘Pas Mutiara’ untuk para pengguna pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas awam di Pulau Pinang.

Saya amat gembira apabila Kerajaan Negeri telah memperluaskan lagi inisiatif tersebut dengan pemberian subsidi untuk warga Pulau Pinang yang mana saya dimaklumkan setakat hari ini, sejumlah 8,000 pemegang Pas Mutiara yang menggunakan perkhidmatan ini secara percuma setiap hari.

“(Dan) ini merupakan inisiatif yang amat baik dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mana pas ini bukan sahaja untuk perkhidmatan bas tetapi juga (perkhidmatan) feri,” ujarnya pada sesi sidang media bersama Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Siew Fook menyatakan bahawa melalui kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), juga semasa (Pakatan Harapan) di Putrajaya, projek pembesaran Pelabuhan Swettenham berjaya direalisasikan dengan menyelesaikan isu berkaitan tanah di tapak projek.

“Sekarang ini, hanyalah fasa pembangunan gudang-gudang lama yang masih menjadi kekangan kerana PPC bukan lagi di bawah saya (semasa menjadi Menteri Pengangkutan).

Walau bagaimanapun, saya masih memberi perhatian terhadap perkembangan pembangunan di Pelabuhan Swettenham kerana pelabuhan ini merupakan satu-satunya pelabuhan yang mempunyai terminal kapal pelayaran (cruise terminal) di tengah-tengah bandar raya di negara ini yang mana ia menjadi aset penting untuk Pulau Pinang.

“Saya harap Pelabuhan Swettenham ini dapat dimajukan lagi dan meneruskan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya yang turut teruja untuk melihat perkembangan pembangunan di pelabuhan tersebut.

Selain itu, tambah beliau, antara inisiatif lain yang turut diperkenal serta dilaksanakan dengan jayanya adalah penubuhan warden trafik di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya di Pulau Pinang dan pelaksanaan projek lebuh raya tertinggi di Malaysia yang telah selesai.

“Namun, saya amat berdukacita apabila Kerajaan Persekutuan yang ada kini telah menangguhkan projek pembesaran lapangan terbang di Bayan Lepas (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, PIA) yang mana projek ini telah diusahakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pusat ketika itu.

“Sememangnya, ada keperluan untuk menaik taraf lapangan terbang tersebut kerana telah melebihi kapasiti maksimum (penumpang),” jelas Ahli Parlimen Seremban itu.

ANTHONY Loke Siew Fook (kanan) bersama-sama Ketua Menteri dan Steven Sim Chee Keong (kiri) melihat pemandangan bandar raya George Town dari Tingkat 28, Komtar.

Terdahulu, Siew Fook mengadakan kunjungan hormat rasmi terhadap Kon Yeow di pejabatnya yang turut dihadiri oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Malaysia, Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Selain diberikan taklimat mengenai pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2008 dan kejayaan mengotakan 95 peratus janji manifesto pilihan raya lalu, Siew Fook dan Kon Yeow turut membincangkan beberapa isu berkaitan parti serta persediaan DAP menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Difahamkan, kunjungan rasmi ini merupakan yang pertama selepas Siew Fook dilantik sebagai Setiausaha DAP Malaysia.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI