YDP seru orang ramai sama-sama jaga kebersihan taman

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

BATU UBAN– Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merancang untuk membangun serta mewujudkan masing-masing empat taman kejiranan dan taman poket sebagai meneruskan kesinambungan hasrat Kerajaan Negeri ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar dalam taman unggul di negara ini pada tahun 2015.

Yang di-Pertua MPPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, ketika ini Majlis telah membangunkan sebanyak empat taman kejiranan dan tujuh taman poket di sekitar Pulau Pinang.

“Sebanyak empat lagi taman kejiranan sedang dibangunkan iaitu Taman Kejiranan Lebuh Batu Maung 8, Taman Kejiranan Bukit Gedung, Taman Kejiranan Permatang Damar Laut dan Taman Kejiranan Teluk Kumbar.

“Dijangkakan, semua taman-taman yang sedang dan akan dibangunkan pada tahun ini bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk penduduk
setempat beriadah,’’ katanya sempena sambutan Hari Landskap Negara 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian sambutan tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Sharif.

Menurut Patahiyah, taman-taman kejiranan yang dibangunkan bukan sahaja dilengkapi dengan pokok-pokok teduhan, malah juga kemudahan perabot taman seperti laluan joging, laluan basikal, alatan permainan kanak-kanak, alatan senaman, gazebo dan lain-lain untuk kegunaan penduduk setempat beriadah.

“Oleh itu, saya menyeru agar orang ramai supaya bersama-sama Majlis menjaga tahap kebersihan, keselamatan dan keindahan taman kejiranan dan taman poket yang dibangunkan ini dengan menanam sikap sense of beloging,” seru beliau.

Pada majlis sambutan tersebut, turut diadakan pameran, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan gubahan bunga.

Malah, tiga balai polis dan tiga klinik kesihatan terbersih serta tercantik turut menerima penghargaan.

Tambah Patahiyah, MPPP akan meningkatkan penganjuran program-program komuniti dan gotong-royong dari semasa ke semasa.

“MPPP akan meneruskan projek-projek penghijauan dengan menanam banyak lagi pokok-pokok nadir atau endangered species di Pulau Pinang,” jelas beliau.