Zainal Abidin Hassan dilantik ketua jurulatih Penang FC yang baharu

Admin

GEORGE TOWN – Bekas ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dilantik sebagai pengendali baharu pasukan Penang Football Club (Penang FC) menggantikan khidmat Thomas Trucha.

Perkara itu diumumkan oleh Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee pada sidang media dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

“Pelantikan Zainal Abidin adalah berkuat kuasa semalam (1 Jun) sehingga tamat saingan Liga Super 2022 yang dijangka pada bulan November ini.

Soon Lip Chee ketika mengadakan sidang media dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri pagi tadi.

“Pengalaman beliau yang pernah membimbing pasukan Pulau Pinang pada 2017-2018 dan membantu pasukan Melaka United pada tahun 2019 sehingga layak ke separuh akhir Piala Malaysia diyakini dapat memberi suntikan semangat kepada pemain-pemain.

“Oleh itu, kita berharap agar dengan pelantikan beliau akan dapat mengubah prestasi semasa pasukan Penang FC yang kini berada pada kedudukan tercorot,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausa Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew; barisan Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari dan Dato’ Norazmi Mohd. Narawi serta Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menter (CMI), S. Bharathi.

Difahamkan, bekas ketua pasukan Harimau Malaya itu sebelum ini pernah membimbing pasukan Pulau Pinang selama semusim pada 2017-2018 sebelum berpindah ke Melaka United pada 2019.

Dalam pada itu, Lip Chee menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa kemerosotan prestasi Penang FC ketika ini adalah berpunca daripada kelewatan bayaran gaji pemain.

“Sebaliknya kita membayar gaji pemain berserta imbuhan-imbuhan lain tepat pada masanya iaitu sama dengan tarikh pembayaran gaji kakitangan awam,” tegasnya.

Pada sama, Lip Chee turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat untuk menaja pasukan Penang FC.

“Peruntukan RM8 juta setahun oleh Kerajaan Negeri masih tidak mencukupi, jadi kita alu-alukan sekiranya ada pihak yang berminat untuk menaja Penang FC,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD