Zairil: Fokus kerja-kerja mencari mangsa runtuhan lereng di Jalan Bukit Kukus dulu

Admin

TELUK BAHANG – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa pada jam 1.30 pagi tadi, mayat ketiga kejadian runtuhan lereng di Jalan Bukit Kukus berhampiran kawasan tapak pembinaan jalan raya berkembar dari Paya Terubong menghala ke Relau, baru dijumpai.

Katanya, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang ketika ini lebih memberi tumpuan kepada usaha-usaha pencarian serta menyelamat mangsa yang dianggarkan enam lagi masih belum ditemui, sementara menanti hasil siasatan berwajib siap kelak.

“Tunggu hasil siasatan selesai, buat masa ini, fokus kepada usaha pencarian dan menyelamat mangsa,” respons beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran IWK Friends of Rivers dekat Loji Rawatan Kumbahan Batu Feringghi pada 20 Oktober 2018.

Menurut Zairil, kejadian yang mengheret empat kontena tertimbus di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang 19 Oktober lalu berlaku ketika Stop Work Order (SWO) sedang dilaksanakan.

Tambahnya, SWO yang dikenakan itu adalah susulan tragedi runtuhan bim-bim lebuh raya berkembar terbabit iaitu kira-kira 500 meter(m) dari tapak kejadian berkaitan pada minggu lalu.

“Kita syaki mungkin ada dua tiga orang lagi (mangsa tertimbus di tempat kejadian), mungkin.

“Apa punca runtuhan semalam, saya pun tidak boleh memberi komen lanjut sehingga laporan siasatan siap, tapi bagi Kerajaan Negeri memang kita memberi perhatian serius.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, kita nak tahu sama ada pihak kontraktor mengikut SOP (Tatacara Pengendalian Piawai) atau tidak, itu yang akan diketahui apabila laporan siap kelak,” jelas Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar & Video : LAW SUUN TING