Ziarah ADUN berikan keceriaan kepada 4 keluarga sempena sambutan Deepavali

Admin

BATU MAUNG – Penderitaan adek S. Pritika, 12, yang menghidapi kerosakan buah pinggang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Abdul Halim Hussain yang meluangkan masa melawat keluarga tersebut di Bukit Gedung baru-baru ini.

Pritika didiagnos menghidap sakit berkenaan sejak berumur 2 tahun dan mula menjalani rawatan dialisis seminggu tiga kali.

Datuknya, S. Rajendiran, 63, dan neneknya R.Umaravathi, 58, yang menjaganya setiap hari memberitahu, mereka sekeluarga memerlukan kira-kira RM1,500 sebulan bagi membeli air rawatan dan menyewa mesin dialisis di rumah.

Sekarang, Pritika sudah dua bulan ditahan di wad Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) kerana jangkitan kuman.

Berikutan daripada jangkitan tersebut, rawatan dialisis beliau tidak boleh menggunakan air sebaliknya (rawatan) dilakukan melalui darah.

Nak raya (Deepavali) pun rasa tak seronok, tak tahu macam mana keadaan beliau yang masih ditahan dan selepas ini rawatannya bergantung kepada air lagi atau sebaliknya,” ujarnya yang menyatakan kebimbangan kepada wakil Buletin Mutiara.

Difahamkan, Rajendiran dan Umaravathi mengasuh cucu-cucunya seramai tiga orang yang masing-masingnya berumur di antara 3 hingga 12 tahun sementara ibu bapa Pritika keluar bekerja.

Umaravathi jua melahirkan harapan, agar dapat kiranya Abdul Halim membantu mendapatkan pertolongan melakukan buah pinggang transplan buat cucu sulungnya itu.

Jika boleh dapatkan kidney transplan saya amat bersyukur, kerana dia kecil lagi, saya amat risau,” ujarnya.

Sementara itu. Abdul Halim yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawan berkata, sumbangan RM150 tersebut diharap dapat memberikan keceriaan kepada keluarga berkenaan sempena sambutan Deepavali minggu hadapan.

Kita tahu walaupun sumbangan ini tidak seberapa, tapi setidak-tidaknya dapatlah membantu kos untuk ulang-alik ke hospital dan alatan dialisis yang digunakan juga memerlukan kos yang tinggi.

Sumbangan ini juga diharap dapat memberikan sedikit kegembiraan buat mereka,” ujarnya.

Pada program ziarah kasih Deepavali berkenaan, Abdul Halim meluangkan masa kira-kira dua jam menyantuni empat keluarga kaum India yang kurang bernasib baik.

Dan, difahamkan sempena sambutan pesta cahaya itu juga, Abdul Halim turut bermurah-hati membantu 100 keluarga India di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung untuk membeli-belah keperluan raya.