Zon larangan merokok diperluas ke Bukit Bendera

AIR PUTIH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa 1.6 juta pengunjung yang mengunjungi Bukit Bendera layak mendapat udara segar di pusat peranginan tanah tinggi tersebut.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pewartaan Zon Larangan Merokok di Kawasan Bukit Bendera di sini 1 Oktober lalu.

Menurutnya, pendekatan tersebut adalah sejajar dengan Peraturan 11 (1) Peraturan-peraturan Hasil Tembakau 2004 Pindaan 2017 yang mewartakan Taman Awam dan Taman Negara seluruh Malaysia sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Februari 2017.

“Seperti sedia maklum, Program Pewartaan Larangan Merokok Di Kawasan Bukit Bendera adalah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam melindungi penduduk Pulau Pinang khususnya, daripada bahaya asap rokok bagi melindungi kualiti dan persekitaran bersih yang hijau serta segar.

“Program ini juga merupakan kerjasama bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam memperluaskan skop Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR),” ucap Guan Eng pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah JKNPP, Datuk Dr. M. Sukumar.

Tambah Guan Eng, melalui Peraturan 22 Peraturan-peraturan Hasil Tembakau 2004, enam taman awam dan rekreasi di negeri ini seperti Empangan Air Itam, Taman Bandaraya, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar dan Empangan Mengkuang juga diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak 2 Oktober 2012.

“Usahasama murni ini diteruskan dengan mewartakan PENBAR di Tapak Warisan Dunia George Town sebagai kawasan larangan merokok pada 4 Julai 2015,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Pada kesempatan sama, Guan Eng turut memuji PHC yang berjaya meningkatkan jumlah pelancong ke Bukit Bendera seramai 1,048,740 pengunjung dari Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 936,846 untuk tempoh sama (2016).

Katanya, peningkatan 11.9 peratus tersebut dilihat terus memacu Bukit Bendera sebagai antara lokasi pelancongan bukit peranginan ternama di Malaysia.

“Kita berharap tahun ini Bukit Bendera mampu memecah angka 1.7 juta pengunjung, perlahan-lahan kita akan mampu sampai ke angka dua juta pelancong,” ujar beliau.