Bina semula gelanggang futsal Penanti pelaburan untuk muda-mudi

PENANTI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang membelanjakan RM276,794 termasuk kenaan 6 peratus Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) dalam projek pembinaan semula dua gelanggang futsal di Padang Awam Taman Guar Perahu di
sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau percaya perbelanjaan sebegitu tetap memberikan impak daripada aspek sosial, khususnya kepada komuniti muda-mudi tempatan.

“Ini pun pelaburan daripada Kerajaan Negeri, walaupun tidak membawa pulangan keuntungan (ROI), tetapi tetap memberikan kesan daripada segi sosial seperti kegembiraan kepada anak muda untuk beriadah di gelanggang futsal ini,” katanya pada Majlis Perasmian Pembinaan Semula Gelanggang Futsal Penanti baru-baru ini.

Difahamkan, pentadbiran Guan Eng melalui Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) membina sebuah gelanggang futsal bersaiz 84 kaki lebar dan 100 kaki panjang.

Namun, gelanggang tersebut runtuh dipukul ribut kuat dalam satu kejadian pada awal tahun ini, lalu dirobohkan pada 14 Februari lalu.

Berucap pada majlis sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Guan Eng kerana membina semula gelanggang tersebut.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya; Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Permatang Pauh, Amir Mohd. Ghazali dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Safwan Jamal turut sertai majlis tersebut.