ZPP terima zakat perniagaan enam syarikat korporat hampir RM1.17 juta

Admin
MOHAMAD Abdul Hamid (lima dari kiri) dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain merakamkan gambar dengan enam wakil syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang di sini pada 4 Disember 2023.

GEORGE TOWN – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima sejumlah RM1,167,972.44 zakat perniagaan bagi haul tahun 2022 daripada enam syarikat korporat di negeri ini.

MOHAMAD Abdul Hamid

Semasa berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memberitahu bahawa sokongan serta dokongan daripada syarikat-syarikat korporat yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang adalah penting dan mencerminkan kelestarian agenda kewangan sosial Islam serta kemakmuran sosioekonomi masyarakat Islam khasnya bagi mustahik (orang berhak menerima zakat).

Sehubungan itu, beliau yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berharap agar strategi-strategi baharu dakwah melalui zakat wajar dipelbagaikan dari segi kaedah pembayaran dan pengagihan zakat agar lebih efektif, efisien serta seiring dengan kemakmuran ekonomi di negeri inj.

“Saya juga percaya peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana agihan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dalam majlis berkaitan dekat sini pada 4 Disember 2023.

AMRAN Hazali

Turut berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali.

Mohamad dengan diiringi Amran menerima zakat perniagaan bernilai RM640,521.79 daripada Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara dan Subsidiari, Ustaz Suhaimi Abdul Jalil.

Timbalan Pengerusi Coop Bank Pertama Malaysia Berhad, Nor Hidayah Omar menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM464,742 bagi haul 2022 kepada ZPP; sementara RM250,000 zakat perniagaan diserahkan oleh Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Musa Abdul Malek.

Pengerusi Jawatankuasa Perhuhungan Angkasa Negeri (JPAN) Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perda Venture Incorporated Sdn. Bhd., Noorkhaizan Mohd. Noor masing-masing menyerahkan zakat perniagaan bagi haul tahun 2022 berjumlah RM111,105.53 dan RM105,276.87.

Ketua Pengawai Pembangunan Agro Bank, Aminuddin Amenon menyerahkan zakat perniagaan bagi haul tahun 2022 bernilai RM100,326.25.

WAKIL lima hospital dan satu Klinik Kesihatan Daerah yang menerima zakat dalam bentuk geran berkaitan turut merakamkan gambar dengan Mohamad Abdul Hamid (tengah) bersama-sama barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini menjelang tengah hari tadi.

Pada majlis sama, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat turut menyaksikan Amran menyerahkan zakat dalam bentuk geran kepada enam hospital iaitu Hospital Pulau Pinang (RM80,000), Hospital Seberang Jaya (RM35,000), Hospital Bukit Mertajam (RM10,000), Hospital Kepala Batas (RM10,000), Hospital Sungai Bakap (RM5,000), dan Klinik Kesihatan Barat Daya (RM2,000).

“Menerusi agihan zakat yang efektif dan efisien ini, kita (MAINPP) dapat menyaksikan serahan geran tahunan zakat kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital dan Klinik bagi meringankan bebanan pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital serta klinik yang berkenaan,” jelas Mohamad lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING