Bina lebih banyak gelanggang bola keranjang demi lahirkan lebih ramai bakat cemerlang

BUKIT MERTAJAM – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Piala Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) Peringkat Seberang Perai di Gelanggang Bola Keranjang Tertutup dekat Taman Kota Permai di sini.

Sebanyak 63 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada tiga ketagori, iaitu kumpulan lelaki berumur antara 15 hingga 20 tahun; 21 hingga 30 tahun dan kumpulan wanita berumur 15 hingga 30 tahun.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan membina lebih banyak gelanggang bola keranjang dan terus meningkatkan kemudahan sedia ada bagi melahirkan lebih ramai pemain (bola keranjang) yang cemerlang.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap satu hari nanti, Pulau Pinang akan menjadi juara di peringkat kebangsaan dalam acara ini.

Kita juga sedang berunding dengan Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang dan akan terus membina kemudahan sukan yang lebih baik serta melahirkan lebih ramai bakat,” ujarnya pada majlis berkaitan pada 4 Februari lalu. Turut berucap,
Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi yang juga Pengerusi Kejohanan Bola Keranjang PYDC, Soon Lip Chee; Presiden Persatuan Bola Keranjang Pulau Pinang, Datuk Ooi Khoon Yeong; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Kota Permai, Yap Kim Choi dan Ketua Eksekutif PYDC, Teng Kok Liang.

Menurut Guan Eng, penyertaan kejohanan juga adalah sangat menggalakkan apabila meningkat daripada 56 pasukan pada tahun lepas kepada 63 (2018).

Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada kesemua pasukan yang mengambil bahagian termasuk pihak penganjur pertandingan.

“Saya mengucapkan syabas kepada enam pasukan wanita yang sudi mengambil bahagian dan bertanding bersama-sama dalam kejohanan ini. “Marilah kita menuju ke arah Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

“Tahniah juga kepada pihak penganjur, iaitu PYDC dan JKKK Taman Kota Permai, dan juga Persatuan Bola Keranjang Negeri Pulau Pinang kerana telah berjaya menganjurkan pertandingan ini,” jelasnya.