Pulau Pinang pertama luluskan pemasangan mandatori WSD

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menjadi negeri pertama dalam negara meluluskan peraturan yang memerlukan pemaju memasang peranti penjimatan air atau water saving devices (WSD) dalam semua projek pembangunan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa melalui kenyataan akhbar pada 30 Januari lalu berkata, Majlis Eksekutif Negeri Pulau Pinang telah meluluskan cadangan PBAPP untuk pemasangan mandatori WSD pada 28 November tahun lalu.

“Langkah seterusnya adalah proses perundangan perlu bagi pindaan dan pewartaan, (dan) hanya selepas pewartaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) boleh menguatkuasakan peraturan baharu.

“Pemasangan WSD telah diakui sebagai salah satu langkah pemuliharaan air paling berkesan di dunia, dan negara-negara seperti Australia, Hong Kong, New Zealand, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat secara aktif mempromosikan pemasangan WSD ini,” ujarnya di sini.

Menurut Jaseni, WSD adalah peranti ‘mesra air’ yang membolehkan pengguna menjimatkan air secara automatik tanpa sebarang perubahan terhadap rutin harian.

“Pemasangan mandatori WSD dalam semua hartanah baru akan membolehkan lebih banyak isi rumah menjimatkan air dengan usaha minimum dan ciri-ciri automatik WSD ini akan membantu mengurangkan penggunaan domestik per kapita dengan ketara dalam jangka panjang.

“(Selain itu), bangunan juga akan lebih hijau serta mematuhi Garis Panduan Perancangan Kejiranan Hijau 2012 selaras dengan dasar ‘Pulau Pinang Lebih Bersih Lebih Hijau, Lebih Sihat dan Lebih Selamat.

“Tambahan pula, ketika musim kemarau, WSD secara automatik mengawal penggunaan air untuk memastikan rizab air di Pulau Pinang dapat bertahan sehingga hujan tiba,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Berhad.

Untuk mencuba WSD, sila lawati Pusat Khidmat Pelanggan PBAPP terdekat dan ambil kit penjimatan yang mengandungi ‘penyaring’ penjimatan air secara percuma.