Daya tahan, komitmen tinggi rahsia Pulau Pinang hadapi cabaran getir, pikat pelabur asing – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Daya tahan dan komitmen tinggi yang ditonjolkan semua pihak merupakan rahsia Pulau Pinang menghadapi saat-saat paling getir dalam sejarah negeri terutamanya dalam memastikan para pelabur asing terus berada di sini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, meskipun pada 4 dan 5 November lalu, Pulau Pinang dilanda bencana paling buruk dalam sejarah negeri, namun, Pulau Pinang mampu bangkit semula.

“Tentunya cabaran paling getir dihadapi kita semua tahun ini adalah kejadian banjir besar dan ribut pada 4 dan 5 November lalu…dan Kerajaan Negeri juga perlu menghadapi perbelanjaan luar jangka bagi membolehkan kita (Kerajaan Negeri) membuat pembayaran paling tinggi dalam sejarah negara sebanyak RM700 (secara oneoff) kepada mangsa-mangsa bencana baru-baru ini.

“Meskipun berlakunya bencana alam paling teruk dalam sejarah negeri, Pulau Pinang masih mampu bangkit semula serta pulih seperti sedia kala dalam tempoh yang singkat, dan situasi ini menambahkan keyakinan para pelabur asing.

“Hasilnya, pada tahun 2017, kita semua dapat menyaksikan pertumbuhan positif dan pembangunan infrastruktur, tahniah kepada PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan Invest-in-Penang (Berhad) atas komitmen serta kejayaan memikat para pelabur asing untuk terus melabur di PulauPinang,” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru di Pejabat PDC di sini 21 Disember lalu.

Turut sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee.

Guan Eng yang juga Pengerusi PDC berkata, Pulau Pinang pada tahun ini berjaya berada di tangga kedua dalam menarik pelaburan bagi sektor pembuatan.

“Sebanyak RM9.9 bilion pelaburan dicatatkan antara tempoh Januari hingga September 2017, berbanding RM4.3 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun 2016 secara keseluruhan.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan 130 peratus, iaitu kedua tertinggi (nilai pelaburan sektor pembuatan) di seluruh negara.

“Daripada RM9.9 bilion itu, RM8 bilion adalah pelaburan asing, manakala pelaburan tempatan (RM1.9 bilion), oleh itu, kini tidak akan ada lagi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab mendakwa terdapat pelabur yang lari atau kilang tutup di Pulau Pinang.

“Bukan itu sahaja, saya berbangga kerana Pulau Pinang memiliki syarikat yang merupakan pengeksport terbesar di Malaysia iaitu Western Digital yang menyumbang RM20 bilion eksport pada tahun 2017 atau 2.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

“(Dan) Broadcom pula menyumbang RM70 bilion menjelang 2018 nanti atau 8 peratus daripada jumlah eksport negara, menjadikan kedua-duanya menyumbang 10.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport dalam negara,” katanya yang turut memuji agensi berwajib dalam mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pilihan sekaligus menyaksikan trajektori pertumbuhan ekonomi yang positif.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut berkongsi beberapa projek pembangunan transformatif utama yang direalisasikan di Pulau Pinang melalui pelbagai inisiatif sama ada melalui agensi Kerajaan Negeri mahupun pihak swasta.

Malah, beliau turut memastikan pembekalan rumah mampu milik (RMM) kepada rakyat Pulau Pinang menjadi agenda utama Kerajaan Negeri dan PDC.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut menyalurkan sumbangan RM1,000 masing-masing kepada Glory Everise Home dan Crystal Family Home sempena sambutan Hari Krismas.