Kempen Penang Goes Orange, ‘Hentikan Keganasan Wanita’

TELUK BAHANG – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkasakan pelbagai pendekatan bagi menghentikan penularan jenayah seksual dan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, antara pendekatan yang dilaksanakan adalah melalui kempen kesedaran, sesi penerangan dan penyebaran risalah berkaitan.

“Melalui kempen-kempen kesedaran, mangsa-mangsa yang terlibat dalam keganasan domestik atau jenayah seksual akan diberi maklum saluran yang boleh dihubungi bagi mendapatkan bantuan.

“Berdasarkan statistik terkini, kes melibatkan jenayah seksual dan keganasan domestik mencatatkan peningkatan dan ia amat membimbangkan, misalnya antara tempoh 2010 sehingga 2015, kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan adalah sebanyak 5,779 laporan, manakala kes rogol yang dilaporkan adalah 28,741 kes antara tahun 2005 sehingga 2014.

“Daripada keseluruhan kes yang dilaporkan ini, hanya 4,514 kes atau 16 peratus sahaja dibawa ke mahkamah, dan 765 (kes) disabitkan kesalahan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Penang Goes Orange 2017 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Abdul Malik yang merupakan antara pemimpin negeri yang menyokong kempen tersebut turut memuji kegigihan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan PWDC dalam merencana kempen Penang Goes Orange saban tahun.

“Ayuh, sama-sama kita hentikan keganasan terhadap wanita,” serunya.

Kempen Penang Goes Orange merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dimulakan sejak tahun 2014 bagi menghentikan jenayah seksual dan keganasan domestik bukan sahaja terhadap wanita, malah kanak-kanak juga.