Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri, lima beradik peroleh taraf warganegara

Admin

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Lima adik-beradik berusia antara setahun hingga 10 tahun dari rumah kebajikan Sinar Bakti dan seorang warga emas, P. Sarojini, 60, menerima status kewarganegaraan setelah masing-masing memperoleh sijil kelahiran, MyKid, kad pengenalan biru dan MyKad baru-baru ini.

Penyerahan dokumen-dokumen tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy selaku Pengerusi Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini.

Menurut Ramasamy, lima adik-beradik yang dimaksudkan ialah M. Tanesh, 10, M. Nagarajan (9), M. Kirtthana (7), M. Sivasankhari (5) dan M.Dinesh (1).

“Bagi kes lima kanak-kanak ini, proses= yang diambil adalah satu tahun untuk memperoleh sijil kelahiran dan MyKid, manakala bagi Sarojini, tiga tahun,” jelasnya pada sidang media.

Hadir sama, pemantau program, Chiam Heng Hak (wakil bagi Daerah Timur Laut), Abdul Rahim Mohamed Nor (Daerah Barat Daya) dan K. Krishnasamy (Daerah Seberang Perai Utara, SPU).

Difahamkan lima kanak-kanak tersebut sebelum ini ‘ditemui’ oleh dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) iaitu M. Satees dan David Marshal di sebuah rumah kebajikan sebelum kes mereka dirujuk di bawah Program Kewarganegaraan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, manakala Sarojini, sebelum ini merupakan pemegang kad pengenalan merah (pemastautin tetap).

“Sejak program (kewarganegaraan) ini diperkenalkan pada tahun 2013, seramai 870 individu telah dan sedang dibantu, iaitu 42 kes berjaya membuahkan hasil, 31 kes gagal dan selebihnya masih dalam proses,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Sementara itu, Tanesh ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila mereka lima beradik berjaya mendapatkan hak sebagai warganegara Malaysia yang sah taraf.

“Terima kasih Kerajaan Negeri membantu saya dan adik-adik. Selepas ini, kami semua boleh ke sekolah,” katanya teruja.