1.3 kadar kesuburan jumlah di Pulau Pinang ‘serius’, kata Pesuruhjaya Banci 2020

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bersama-sama Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin pada petang tadi melancarkan Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata bahawa fasa pertama bancian menggunakan kaedah e-Census (https://www.mycensus.gov.my/) bermula pada 7 Julai hingga 30 September ini, sementara fasa kedua secara temubual bersemuka, 7 hingga 24 Oktober depan.

Justeru, beliau berharap kira-kira lebih 1.8 juta penduduk negeri termasuk buruh asing dapat mengambil bahagian dalam proses bancian yang diadakan 10 tahun sekali, pada kali ini.

“Ia (hasil bancian) akan menjadi sumber rujukan serta asas penting kepada perancangan pembangunan negeri dan negara secara keseluruhannya.

“(Data statistik yang diperoleh melalui bancian ini) bakal digunakan untuk mengubal serta melaksanakan polisi kerajaan bagi tujuan pembangunan demi kepentingan rakyat,” jelasnya pada majlis berkaitan yang berlangsung dekat Komtar di sini pada 29 Julai 2020.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Pengarah Perangkaan Negeri, Mohd. Suhaimi Mohd. Yunus turut sertai majlis tersebut.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Mohd. Uzir yang juga Pengarah Perangkaan Malaysia memberitahu bahawa kadar pertumbuhan semulajadi kasar (CRNI) di Pulau Pinang adalah 5.4; 11.7 kadar kelahiran kasar (CBR) dan 6.4 kadar kematian kasar (CDR).

Namun, menurut beliau, 1.3 kadar kesuburan jumlah (TFR) adalah berada di kedudukan paling bawah berbanding negeri-negeri lain seperti Sabah (1.4), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.5), Sarawak (1.6) dan Selangor (1.7).

“(Kadar) 1.3 (iaitu merujuk pada anak bagi perempuan berusia antara 15 hingga 49 tahun pada 2018) ini adalah suatu tahap serius, maksudnya anak-anak yang dilahirkan ini tidak mampu menggantikan (kedua-dua) ibu bapa.

“Akhirnya nanti, kita (di Pulau Pinang) akan menghadapi senario orang yang produktif berkerja terpaksa menanggung orang yang tidak bekerja dengan jangka hayat umur semakin panjang (antara) 72 dan 77 tahun, jadi kita (Kerajaan) mungkin menghadapi masalah tekanan (daripada segi sosial).

“Kita (Kerajaan) melihat bahawa orang tua ini sudah tidak produktif (iaitu) mereka sudah tidak menyumbang pada infrastruktur dan sebagainya, jadi nisbah tanggungan orang yang masih aktif daripada segi membayar cukai akan lebih tinggi,” ujarnya.

Selain itu, Mohd. Uzir menyatakan bahawa Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang akan melibatkan tiap-tiap penduduk di negeri ini.

“Bancian tidak dibuat berdasarkan persempelan, bancian dibuat terhadap semua orang untuk menyuarakan keperluan mereka…termasuk pekerja asing kerana konsep (bancian) adalah termasuk penduduk Malaysia yang duduk di Malaysia melebihi enam bulan.

“Mereka yang berminat untuk menjadi pembanci, boleh daftar (di portal https://www.mycensus.gov.my/)… kita (Jabatan Perangkaan Malaysia, DOSM) galakkan orang tempatan yang (dilantik) akan melaksanakan pembancian di kawasan masing-masing,” ulasnya sambil memberitahu bahawa proses pelantikan pembanci lokal akan dibuat pada hujung bulan September ini melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat-pejabat Daerah.

Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata bahawa seramai 5,881 orang pembanci dan 812 penyelia program bancian diperlukan untuk melaksanakan Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Peringkat Negeri Pulau Pinang, ke atas kira-kira 1.8 juta penduduk di negeri ini.

Kali terlahir DOSM membuat bancian di seluruh negara termasuk Pulau Pinang adalah pada tahun 2010.


Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI