10 pengusaha durian Balik Pulau bakal terima pensijilan MyIPO

PAYA TERUBONG – Seramai 10 pengusaha durian Balik Pulau bakal menerima Pensijilan MyIPO (Harta Intelek) sebagai usaha mengukuhkan pasaran produk identiti Pulau Pinang – Durian Balik Pulau di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Perkara tersebut diumumkan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada majlis sidang media mengenai Petunjuk Geografi (GI) Durian Balik Pulau di Pusat Agropelancongan Relau, di sini baru-baru ini.

Afif berkata, menyedari potensi pasaran durian Balik Pulau, pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti produk premium tersebut.

“Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah mendaftar durian Balik Pulau sebagai Petunjuk Geografi (GI) bagi membantu aspek pemasaran Raja Buah ini,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Hadir sama, Pengarah JPNPP, Azahar Ibrahim, Shahbani Ismail (Timbalan Pengarah JPNPP) dan Nor Wahida Hassan (Pegawai Pertanian Daerah Barat Daya & Timur Laut).

Terdapat tujuh variasi GI durian Balik Pulau yang dikenalpasti iaitu klon 600, klon D11, klon D15, D166 (Balik Pulau 604), D163 (Horlor), D164 (Ang Bak) dan D175 (Udang Merah).

Mengulas lanjut, Afif memberitahu, GI merupakan pendekatan bagi memastikan keaslian kualiti dan reputasi durian Balik Pulau sebagai produk pertanian premium tidak terjejas.

“Pendaftaran Petunjuk Geografi (GI) durian Balik Pulau ini disokong dengan pensijilan MyGAP (Malaysia Good Agriculture Practice  yang mengiktiraf ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB).

“Hanya pengusaha yang telah memiliki pensijilan MyGAP layak diberikan pensijilan MyIPO,” jelasnya.}