Salihah johan Pertandingan Halaman Rumah Tercantik Pulau Aman

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PERTANDINGAN Halaman Rumah Tercantik yang berlangsung dalam tempoh tiga bulan sebelum ini akhirnya tiba ke penghujung.

Pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Pulau Aman pada 11 November lalu menobatkan Salihah Itam sebagai johan pertandingan.

Hadiah naib johan dimenangi oleh Sarimah Rashid dan ketiga, Sa’diah Ismail. Kemenangan tersebut membolehkan Salihah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 berserta sijil penghargaan, naib johan (RM500, sijil penghargaan) dan ketiga (RM300, sijil penghargaan).

Menyempurnakan majlis tersebut ialah Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), M. Satees.

Turut hadir, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen serta jurijuri pertandingan, Hashim Chik dari Jabatan Perhutanan Negeri, Khairul Zambri Md. Saad (Jabatan Botani) dan Yap Lee Ying (Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri).

Selaku penganjur, Siew Shuen dalam ucapannya menyatakan bahawa pertandingan tersebut merupakan kesinambungan Sambutan Hari Alam Sekitar Pulau Aman yang diadakan pada 12 Disember 2015.

“Pertandingan ini dinilai berdasarkan empat aspek utama iaitu kebersihan dan kesihatan, keceriaan dan keindahan, inovatif dan kreativiti serta penjagaan berterusan.

“Pemilihan Pulau Aman sebagai lokasi perintis pertandingan ini umumnya adalah bagi menangkis tanggapan orang ramai berhubung aspek kebersihan pulau ini, malah pada masa sama juga bertujuan mempromosikan prospek pelancongan di sini.

“Pada tahun depan, pertandingan serupa dicadangkan diadakan di kawasan kampungkampung yang secara tidak langsung mampu menyuntik kesedaran umum terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Halaman Rumah Tercantik di sini.

Bagi Satees, lawatan beliau pada tempoh hari selepas dua tahun melahirkan gambaran positif berhubung tahap kebersihan Pulau Aman.

“Secara jujur, saya nampak Pulau Aman kini amat bersih. Gambaran pertama ketika memasuki (sampai) ke Pulau (Aman) adalah amat penting dan saya nampak  perubahannya.

“Dengan kejayaan penganjuran kali ini, saya berharap akan terdapat program-program lain dianjurkan di sini (Pulau Aman) tahun depan.

“Malah, MPSP juga sedang membuat kajian berhubung inisiatif untuk memperkasakan golongan wanita di Pulau (Aman) ini, ia bagaimanapun masih di tahap cadangan,” jelas beliau.

Barisan pemenang hadiah saguhati ialah Mahani Abdul, Rosni Mohammed Hassan, Zulkifly Ayob dan Siti Zawani SALIHAH, 58, ketika ditemui Buletin Mutiara melahirkan rasa gembira dan syukur di atas kemenangan berkaitan.

“Memang telah menjadi rutin setiap hari untuk menyapu dan memastikan halaman rumah berada dalam keadaan bersih, ini termasuk selepas air pasang serta hujan.

“Selain pokok-pokok bunga, saya juga menanam pokok-pokok sayur, herba dan buah seperti serai, betik sebagai altenatif tambahan selain mengitar semula tongtong ikan untuk dijadikan pasu,” ujarnya yang berasal dari Pulau Aman.

Bagi SARIMAH yang berasal dari Kampung Padang Lalang, Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, walaupun diumumkan pemenang naib johan, beliau turut gembira dan bertekad untuk menyertai pertandingan serupa pada masa depan.

“Masuk bertanding bukan hanya nak dapat hadiah, sebaliknya aspek serta tahap kebersihan yang perlu diutamakan.

“Yang penting jaga kebersihan, bila halaman rumah nampak bersih, hati pun seronok,” jelasnya yang turut mengambil inisiatif mewujudkan ‘taman poket’ di halaman belakang kediaman beliau.} else {