10 projek impak tinggi diberi keutamaan, Ketua Menteri sampaikan amanat kepada penjawat awam

Admin
KETUA Menteri semasa menyampaikan amanah kepada para anggota penjawat awam di Dewan Seri Pinang pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Dengan peruntukan berjumlah RM2.27 bilion, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya telah memberikan keutamaan kepada 10 projek yang dijangka akan memberi impak besar serta kesan langsung kepada peningkatan taraf hidup rakyat di Pulau Pinang.

KETUA Menteri

Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyampaikan amanat itu dalam Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di Dewan Seri Pinang dekat sini pada 17 Januari 2023.

“Di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Tahun 2023, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan 126 projek pembangunan dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.72 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2023 berjumlah RM2.89 bilion.

“Daripada 126 projek yang disenaraikan, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 10 projek perlu diberikan keutamaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Di samping itu, Kon Yeow turut memuji usaha serta integriti sekalian 3,920 anggota penjawat awam negara yang selama ini begitu komited dalam menjayakan Visi Penang2030 dengan mengeratkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan infrastruktur negeri.

“Pulau Pinang amat beruntung kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.

BARISAN hadirin yang menyertai Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di sini tadi.
MOHD. Sayuthi Bakar (kanan sekali) bersama-sama empat pemimpin Kerajaan Negeri lain semasa acara menyanyikan lagu Negaraku dan Untuk Negeri Kita di sini pada pagi tadi.

Sebelum itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar dalam ucapannya turut melafazkan ikrar bahawa sektor perkhidmatan awam negeri akan terus komited dalam melaksanakan dasar-dasar Kerajaan.

“Mewakili perkhidmatan awam, kami komited untuk merealisasikan Visi Penang2030 (dengan tema) Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” tegasnya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco; beberapa ADUN; Ahli-Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan turut sertai majlis tersebut.

Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan cek replika atas anugerah dan pengiktirafan peringkat kebangsaan kepada beberapa jabatan kerajaan yang berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI