Kerja-kerja tangani ASF perlu kerjasama orang awam, nasihat Ketua Menteri

KETUA Menteri diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar (kiri) dalam sidang media berkaitan di sini pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang telah selesai melakukan kerja-kerja pelupusan binatang ternakan di tiga daripada 11 ladang ternak yang disahkan ada kes Demam Babi Afrika (ASF) setakat ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media berkaitan selepas menyampaikan amanat dalam Majlis Perhimpunan Anggota Penjawat Awam di sini pada 17 Januari 2023.

“JPV akan meneruskan lawatan ke ladang-ladang (yang terbabit) bagi kerja-kerja pelupusan (binatang ternakan kinzir).

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) ingin minta (semua pihak) bertenang dan memberi kerjasama kepada JPV bagi membolehkan kerja-kerja melupuskan (binatang ternakan) ini dilaksanakan demi mencegah ianya (wabak ASF) merebak ke lebih banyak ladang lain.

“Ini kerana, ada pihak cuba menguruskan dengan cara mereka sendiri dan tidak mahu lapor (kepada JPV) dan ini sangat bahaya kalau (penyakit zoonotik) ini merebak ke kawasan lain,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam sidang media berkaitan bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, Kon Yeow sekali lagi berkata bahawa pihaknya akan menggembleng sumber tenaga dan aset-aset berkaitan bagi memastikan rantaian perebakan wabak ASF dapat diputuskan sesegera mungkin.

Difahamkan, ASF adalah penyakit zoonotik atau wabak yang direbakkan daripada haiwan tetapi tidak sampai mengancam nyawa manusia.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) mungkin akan diadakan pada bulan Jun tahun ini, bukan dalam waktu terdekat kini.

“Kita sedang memperhalusi tarikh-tarikh itu,” responsnya lagi sambil memberitahu bahawa mesyuarat terbaru PH peringkat nasional masih belum memutuskan mengenai proses rundingan lanjut dengan mana-mana gabungan parti politik berkaitan bagi menghadapi PRN Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI