11,000 pelajar terima manfaat program Biasiswa Kecil Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Seramai 11,000 pelajar sekolah menengah di negeri ini menerima manfaat daripada program Biasiswa Kecil Negeri (BKN) Pulau Pinang sejak 2008 melibatkan perbelanjaan sebanyak RM23.39 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bagi tahun 2020, seramai 1,460 pelajar dari 117 sekolah di seluruh negeri layak menerima BKN melalui peruntukan keseluruhan berjumlah RM999,840.

“Jumlah pemberian adalah sebanyak RM600 kepada pelajar sekolah menengah rendah manakala pelajar menengah atas (RM840).

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar pemberian BKN ini dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

Kon Yeow meyerahkan cenderahati kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

“Malah, adalah diharapkan pemberian ini juga diharap mampu menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk meneruskan pelajaran meskipun berdepan pelbagai kesukaran dan cabaran terutama ketika pandemik COVID-19 ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek BKN Pulau Pinang Tahun 2020 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Ahli-ahli Lembaga BKN Pulau Pinang serta wakil-wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menaikkan kadar bayaran BKN sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2009 dan 2013.

“Kenaikan kali pertama adalah melibatkan peningkatan sebanyak 100 peratus iaitu daripada RM240 kepada RM480 bagi pelajar menengah rendah dan RM360 kepada RM760 kepada pelajar menengah atas.

“Kenaikan kali kedua pula adalah sebanyak RM120 bagi setiap kategori menjadikan kadar baru BKN kini adalah RM600 bagi pelajar menengah rendah dan pelajar menengah atas (RM840),” ulasnya.

Pada tahun ini, majlis penyerahan cek BKN diadakan secara ringkas ekoran penularan COVID-19 yang mana sumbangan diserahkan kepada pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah bagi mewakili sekolah-sekolah berkaitan.

Pecahan penerima adalah seperti berikut :
• Daerah Timur Laut – 242 pelajar dari 35 sekolah dengan peruntukan RM171,360.
• Daerah Barat Daya – 189 pelajar dari 13 sekolah dengan peruntukan RM132,840.
• Daerah Seberang Perai Utara – 361 pelajar dari 25 sekolah dengan peruntukan RM241,320.
• Daerah Seberang Perai Tengah – 411 pelajar dari 29 sekolah dengan peruntukan RM278,280.
• Daerah Seberang Perai Selatan – 257 pelajar dari 15 sekolah dengan peruntukan RM176,040.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD